
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan pelabuhan negara dapat diletakkan dalam kalangan 10 terbaik di peringkat antarabangsa.
Bagi mencapai sasaran itu, beliau menekankan perlunya industri maritim negara menjadi cekap, berkesan dan berdaya saing.
“Dengan 90 peratus perdagangan Malaysia adalah melibatkan industri maritim dan perkapalan, maka penting penglibatan oleh pemain industri serta dukungan kerajaan bagi memastikan industri maritim di Malaysia menjadi cekap, berkesan serta berdaya saing agar pelabuhan negara dapat diletakkan dalam kalangan 10 terbaik di peringkat global.
“Hanya melalui kerjasama di antara pemain industri dan kerajaan mampu melonjak keseluruhan prestasi negara dalam industri ini,” catatnya di Facebook.

Menerusi hantaran sama, beliau turut berkongsi detik ketika meluncurkan Minggu Maritim Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Tambahnya lagi, kerajaan juga meletakkan sasaran utama penggunaan bahan api rendah karbon menjelang 2050.
“Melalui dasar utama negara seperti Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan khususnya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), kerajaan telah menetapkan satu sasaran utama iaitu penggunaan bahan api rendah karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2050 dalam pengangkutan marin,” jelasnya.





