
KONVENSYEN Perpaduan Negeri Kedah pada Sabtu mendapat sambutan yang sangat luar biasa dari ahli parti gabungan itu yang dihadiri dari pelbagai lapisan bangsa, umur dan keahlian.
Konvensyen Perpaduan itu pasti akan memberi momentum baharu dalam politik Kedah yang kini diterajui oleh Pas di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dengan semangat kerjasama serta ukhuwah dari gabungan itu diharap dapat membentuk gelombang baharu di Kedah iaitu gelombang biru merah diharap dapat melemahkan gelombang hijau yang kian layu sejak akhir-akhir ini.
Apa yang menariknya pada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ini ialah kedua-dua parti komponen itu diterajui oleh dua anak jati Pokok Sena iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari Kampung Pancur dan Datuk Seri Mahdzir Khalid dari Kampung Lancur Emat. Tahniah.
Kini sudah sampai masanya PH-BN membuat perancangan dalam menghadapi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya tidak lama lagi.
Kehadiran keahlian dari pelbagai peringkat umur pada konvensyen itu menjadi petunjuk gabungan itu mendapat sambutan yang baik bagi merampas Kedah dari Pas.
Para pemimpin dari PH-BN hari ini perlu turun ke padang bagi mendekati rakyat kerana dua tahun bukanlah tempoh yang lama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Purnama demi purnama akan menjelma dan jentera PH-BN hari ini tidak perlu lagi mengambil sikap bertahan tetapi sekarang sudah boleh mula menyerang segala dalil dan dalih serta fitnah dari Pas.
Oleh itu gabungan PH-BN tidak perlu mengatur strategi bagi mendekati pengundi dari pelbagai saluran.
Penulis berharap petugas Kerajaan Perpaduan akan berjaya memberi tafsiran yang sebenarnya mengenai Islam semasa berkempen terutamanya kepada golongan muda yang kian keliru dengan Islam yang dibawa oleh Pas hari ini.
Generasi Y dan Z hari ini menganggap Pas sahaja yang Islam dan parti lain tidak sepenuhnya memperjuangkan Islam hingga mereka turut tertarik dengan wadah perjuangan itu.
Pada masa pilihan raya lalu Pas berjaya mengunakan Islam bagi memancing anak muda untuk memilih parti bulan itu sebagai pilihan mereka hingga akhirnya Kedah jatuh kepada Pas sehingga hari ini.
Menyentuh mengenai pelantikan Saifuddin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Kedah pada minggu lalu beliau terus diserang oleh Sanusi dengan mengeluarkan kenyataan sombong dan tidak bertamadun.
Melalui kenyataan itu Sanusi memperlekehkan dan menyatakan gelombang biru merah itu tidak akan berjaya sehingga kiamat.
Ini jelas menunjukkan keegoan Sanusi yang terlalu angkuh seolah-olah dia yang menentukan dan cakap tidak bersandarkan kepada Yang Maha Kuasa.
Sebagai pemimpin yang dikatakan berteraskan Islam sepatutnya Sanusi lebih terbuka dalam menghadapinya dan tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang jelek.
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW kita sepatutnya reda dan menerima segala keputusan dari Allah dan sekiranya Allah mengatakan Kun Faa Yaa Kun tiada siapa lagi yang boleh menghalangnya.
Ini secara tidak langsung menunjukkan Sanusi sudah mula gelabah biawak sebagai mana ucapan orang Kedah hari ini.
Ucapan Sanusi itu juga seolah-olah pernah didengari oleh penulis sebagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM tepi sahaja sampai bila-bila tetapi dengan kehendak Allah, beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.





