KUANTAN – Seramai 36 peserta dari 13 negara bakal menyertai Base Jump Extreme Challenge 2025 : 24 Jam Tanpa Henti di menara Kuantan 188, dekat sini, mulai esok.
Pihak pengurusan Kuantan 188, Infiniti Indah Sdn Bhd menerusi satu kenyataan media memaklumkan, acara ekstrem buat julung kali itu dijangka menarik penyertaan peminat sukan terjun bebas dari dalam dan luar negara.
“Acara ini adalah antara usaha Kuantan 188 untuk menjadikan menara tertinggi di Pantai Timur sebagai tumpuan utama pelancong.
“Kita juga akan cuba memberikan pengalaman yang baharu dan berbeza kepada pengunjung melalui penganjuran acara berkenaan,” katanya.
![]()
Peserta cabaran terjun bebas akan menunjukkan kemahiran mereka dalam acara selama lima hari itu.
Selain terjunan bebas oleh peserta, pihak penganjur juga akan cuba memecahkan rekod dunia (Guinness World Records) dengan melakukan terjunan bebas selama 24 jam tanpa henti, sepanjang acara berlangsung.
“Sidang media khas mengenai program ini akan diadakan Sabtu ini oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man,” kata kenyataan itu lagi.
Infiniti Indah memaklumkan, program terbabit mendapat sokongan penuh Tourism Malaysia Pahang, Kerajaan Pahang, Kelab Base Malaysia, Majlis Bandaraya Kuantan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang dan RHB Bank.






