
HAMILTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menolak sebarang bentuk pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Bercakap dalam satu mesyuarat yang dianjurkan oleh sebuah jawatankuasa PBB mengenai Pelaksanaan Hak-Hak Mutlak Rakyat Palestin, Guterres berkata, pada asasnya, pelaksanaan hak-hak mutlak rakyat Palestin adalah mengenai hak rakyat Palestin untuk hidup sebagai manusia di tanah mereka sendiri.
“Kita telah melihat hak-hak itu semakin jauh daripada jangkauan. Kita telah menyaksikan proses penyingkiran dan penghapusan yang sistematik terhadap seluruh penduduk (di Gaza),” katanya.
“Melihat kepada rekod kemusnahan dan kerosakan dahsyat akibat pembunuhan beramai-ramai di Gaza, hampir 50,000 orang termasuk 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak telah terbunuh akibat serangan Israel.
“Kebanyakan infrastruktur awam Gaza, termasuk hospital, sekolah, dan kemudahan air, telah dimusnahkan. Majoriti besar penduduknya telah mengalami pemindahan demi pemindahan, kelaparan, dan penyakit,” katanya.

Guterres turut menekankan bahawa kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada pendidikan, menyebabkan satu generasi kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam trauma.
Walaupun Guterres memuji gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan, namun menurutnya inilah masanya untuk menjelaskan objektif sebenar yang perlu dicapai.”
Pertama, beliau menekankan keperluan untuk terus mendesak gencatan senjata kekal dan pembebasan semua tebusan tanpa berlengah di mana Gaza tidak boleh menerima lebih banyak kematian dan kemusnahan lagi.
“Kedua, dalam usaha mencari penyelesaian, kita tidak boleh memburukkan lagi masalah. Adalah penting untuk berpegang teguh pada asas undang-undang antarabangsa. Ia amat penting untuk mengelakkan sebarang bentuk pembersihan etnik,” katanya.
Guterres juga menegaskan bahawa keperluan penyelesaian dua negara harus menjadi keutamaan kedua-dua negara.
“Sebarang kedamaian yang berkekalan memerlukan kemajuan yang ketara, tidak boleh diundur dan kekal ke arah penyelesaian dua negara, pengakhiran pendudukan, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, dengan Gaza sebagai sebahagian daripadanya yang tidak boleh terpisahkan,” ujarnya.
Ketua PBB itu turut menyatakan kebimbangan besar terhadap peningkatan keganasan oleh pendatang haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
“Keganasan mesti dihentikan. Seperti yang telah ditegaskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, pendudukan Israel ke atas Wilayah Palestin mesti berakhir. Undang-undang antarabangsa mesti dihormati, dan akauntabiliti mesti dipastikan,” katanya.
Gutteres turut menggesa usaha untuk mengekalkan perpaduan, kesinambungan, dan integriti Wilayah Palestin yang Diduduki serta pemulihan dan pembinaan semula Gaza sambil menekankan bahawa tadbir urus Palestin yang kukuh dan bersatu amat penting buat masa ini.
“Komuniti antarabangsa mesti menyokong Pihak Berkuasa Palestin dalam usaha ini,” katanya seperti dilapor Agensi Anadolu.
Sebelum ini, PBB enggan memberikan komen secara langsung mengenai cadangan Presiden AS, Donald Trump, untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan rakyatnya tetapi menegaskan bahawa pemindahan paksa adalah pembersihan etnik.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, sebarang pemindahan paksa penduduk adalah setara dengan pembersihan etnik,” katanya pada sidang akhbar menjawab persoalan mengenai rancangan Trump yang dilihat sebagai pembersihan etnik.
Walaupun Dujarric mengelak daripada memberikan kenyataan langsung mengenai rancangan Trump di Gaza, beliau mengumumkan bahawa Guterres akan berucap dalam mesyuarat yang dianjurkan pada hari Rabu oleh Jawatankuasa PBB mengenai Pelaksanaan Hak-Hak Mutlak Rakyat Palestin (CEIRPP).
Menjawab soalan dari Anadolu mengenai sama ada Guterres bimbang kenyataan Trump mungkin menggalakkan lebih banyak kemusnahan di wilayah Palestin dan mewujudkan kesan awal yang berbahaya, merujuk kepada situasi global dengan krisis yang sedang berlaku.
“Kami (PBB), sebagai satu prinsip, menyokong usaha untuk menyelesaikan konflik melalui dialog dan rundingan yang menghormati hak serta maruah semua pihak yang terlibat,” katanya.
Cadangan Trump untuk memindah paksa rakyat Palestin di Gaza pertama kali dikemukakan selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di wilayah itu pada 19 Januari, yang menggantung perang pembunuhan beramai-ramai Israel yang telah mengorbankan lebih 47,000 rakyat Palestin dan meninggalkan wilayah tersebut dalam kehancuran.
“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza,” katanya dalam sidang akhbar pada malam Selasa bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Beliau mengulangi cadangannya bahawa penduduk Gaza perlu dipindahkan ke negara seperti Jordan dan Mesir, dengan AS menjadikan wilayah tersebut sebagai Riviera Timur Tengah.



