
KENINGAU – Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Masyarakat Keningau dibuka susulan banjir kilat.
Menurut kenyataan pegawai bertugas Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, seramai 23 mangsa telah dipindahkan ke PPS tersebut.
“Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dan Bilik Kawalan BBP Keningau menerima panggilan bencana banjir di daerah Keningau.
“Satu PPS telah dibuka setakat ini di Dewan Masyarakat Keningau. Seramai 23 mangsa daripada 8 keluarga telah dipindahkan,” katanya di sini pada Khamis.
Kata beliau, keadaan banjir di daerah Keningau pada pagi ini dilaporkan terkawal dan air telah surut sepenuhnya.
“Kawasan yang terlibat ialah Kampung (Kg) Bariawa Laut, Kg. Kauran, Kg. Kadalakan, Kg. Bakiau, PPRT Taman Anggerik, Kg. Patikang Ulu, Kg. Agudon, Taman Andika, Kg. Gunsanad, Taman Khong Lok, Kg. Masak, Kg. Banjar, Kg. Lingkudau dan Kg. Belibi,” jelasnya.





