
KUNAK – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara khususnya Sabah diseru mengambil serius berhubung isu anjing liar yang semakin berbahaya kepada orang ramai.
Demikian seruan Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia, Datuk Seri Dr Anil Sandhu bagi mengulas insiden serangan anjing liar di daerah Kunak sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas wanita, Sabtu lepas.
Katanya, berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) ia merupakan satu tragedi sangat ngeri apabila mangsa telah diserang sekumpulan anjing liar lalu rebah sebelum dagingnya dipercayai dimakan oleh kumpulan anjing tersebut.
“Sebelum ini serangan anjing liar yang menyebabkan kematian berlaku pada November 2024 melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 2 tahun yang diserang di kampung Sungai Tohok, Semporna.
“September 2022 pula seorang wanita berumur 29 tahun ditemui mati dengan kesan gigitan haiwan dipercayai akibat serangan anjing liar di simpang Kampung Batu, Semporna,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Dr. Anil yang juga Bendahari Pemuda UMNO Sabah merangkap Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu berkata, serangan anjing liar boleh berlaku dimana-mana sahaja sama ada di kawasan kampung, bandar, taman perumahan atau jalan raya.
“Terdapat juga kes yang melibatkan kemalangan motosikal apabila penunggang dikejar lalu terbabas dan cedera, ada yang sedang joging atau beriadah dikejar lalu digigit, ada yang sedang menuju berjalan kaki ke tempat kerja atau ke sekolah juga tidak terlepas dikejar oleh anjing liar.
“Anjing liar ini mungkin jadi agresif akibat kurangnya sumber makanan seiring dengan populasi haiwan ini yang bertambah tanpa sebarang sistem kawalan atau usaha yang spesifik dan effektif setakat ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua agensi berkenaan termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan haiwan liar di Sabah memandang perkara ini dengan serius serta menyelesaikan masalah ini agar tidak menjadi satu mimpi ngeri orang ramai di negeri ini.
Terdahulu, media melaporkan rakaman CCTV memaparkan seorang wanita warga emas berumur 60-an maut akibat serangan anjing liar di Terminal Bas Kunak, pada Sabtu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Sabaruddin Rahmat susulan panggilan diterima pihaknya kira-kira pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Video CCTV memaparkan serangan ke atas warga emas berkenaan juga tular di media sosial.


