PUTRAJAYA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia esok, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menurut Kementerian Luar.
Presiden Indonesia itu akan diiringi menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Lawatan berkenaan mencerminkan hubungan persahabatan kukuh dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia.
Lawatan ini juga adalah Lawatan Negara pertama oleh ketua negara asing ke Malaysia selepas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Ia juga menandakan Lawatan Negara pertama oleh Presiden Prabowo ke negara Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024,” kata kenyataan itu lagi.
Semasa lawatan ini, Prabowo akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara dan dikuti dengan Kunjungan Menghadap ke atas Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda juga berkenan menjadi tuan rumah Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden dan delegasi.
“Sebagai jiran rapat dengan hubungan erat dan pengasas ASEAN, Lawatan Negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara meningkatkan hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi demi kemakmuran dan kemajuan bersama, serta untuk rantau ini secara keseluruhan.
“Hubungan berpanjangan, harmoni dan strategik ini meliputi kerjasama menyeluruh dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan, dan sosiobudaya,” kata kenyataan itu.
Dari Januari hingga November tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencatat RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2023.







