PUTRAJAYA – Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang rakyat Malaysia tidak seharusnya disifatkan sebagai kelemahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada identiti negara yang dibina bersama sejak sekian lama.
Tokoh Perpaduan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perpaduan mesti terus menjadi tonggak mahupun kekuatan utama Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran baharu yang semakin kompleks dan tidak menentu.
“Perbezaan kaum, agama, budaya dan latar belakang kita adalah sebahagian daripada identiti Malaysia yang kita bina bersama. Kita mesti menolak kebencian, ekstremisme, sikap tidak bertolak ansur serta sebarang usaha untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia.
“Semangat Merdeka harus mengingatkan kita bahawa kita adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan masa depan bersama kita adalah lebih penting daripada perbezaan yang ada,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata,
Malaysia telah mencapai kemajuan ketara sepanjang 69 tahun sebagai sebuah negara merdeka, termasuk dalam aspek pembangunan ekonomi dan kestabilan politik.
Bagaimanapun, menurut beliau, negara kini berhadapan dengan persekitaran yang jauh berbeza serta semakin tidak menentu, termasuk tekanan ekonomi, ketegangan geopolitik, perubahan iklim, cabaran alam sekitar dan gangguan teknologi.
“Gejala rasuah yang serius, masalah sosial serta kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat juga sedang mewujudkan cabaran baharu kepada negara kita.

“Di peringkat domestik pula, isu keselamatan jalan raya, jenayah, kesihatan mental, penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, penuaan penduduk, kemerosotan alam sekitar serta penghakisan nilai sosial memerlukan perhatian lebih serius.
“Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, kekuatan terbesar kita mestilah terus berpaksikan perpaduan. Kepelbagaian Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan,” katanya.
Dalam pada itu, Lam Thye yang juga aktivis perlindungan sosial berpandangan, kerajaan mempunyai tanggungjawab mentadbir negara dengan penuh integriti, kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau menjelaskan, kerajaan mesti memastikan institusi awam kekal kukuh, kedaulatan undang-undang dihormati dan pembangunan memberi manfaat secara adil kepada rakyat.
“Keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia bukan sahaja kekal sebagai keutamaan, malah menjadi nilai teras, sementara rakyat juga perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Kita mesti menghormati undang-undang, mengamalkan sikap bertolak ansur, melindungi komuniti, menjaga alam sekitar, menolak rasuah dan tingkah laku tidak bertanggungjawab, serta memainkan peranan dalam memastikan keluarga, tempat kerja, sekolah dan kawasan kejiranan kita sentiasa selamat.
“Sebuah negara yang kukuh tidak dibina melalui dasar kerajaan semata-mata. Ia dibina setiap hari melalui tingkah laku, nilai dan sikap warganegaranya” katanya.
Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Alliance for a Safe Community berkata, rakyat juga mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam memastikan negara kekal aman dan harmoni.
“Kita mesti menghormati undang-undang, mengamalkan sikap bertolak ansur, melindungi komuniti, menjaga alam sekitar, menolak rasuah dan tingkah laku tidak bertanggungjawab.
“Kita juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keluarga, tempat kerja, sekolah dan kawasan kejiranan kita sentiasa selamat,” katanya.
Lam Thye turut menekankan kepada masyarakat di negara ini untuk memilih bagaimana keadaan Malaysia yang mereka mahu diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, Malaysia perlu dijadikan sebagai negara yang selamat untuk generasi akan datang, selain warga emas dapat menjalani kehidupan hari tua dengan penuh maruah, pekerja dilindungi, perbezaan dihormati, mempunyai ruang awam selamat, alam sekitar dilindungi serta setiap rakyat mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan dengan bermaruah dan penuh harapan.
“Dalam kita melangkah ke masa depan, kita perlu bergerak melampaui amalan sekadar meraikan kemerdekaan. Kita mesti memperbaharui keyakinan dan komitmen kita terhadap pembinaan negara.
“Marilah kita memperkukuh semangat Rukun Negara dan menghayati serta mengamalkan prinsip-prinsipnya dalam kehidupan seharian. Marilah kita meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan sempit peribadi serta mengutamakan kerjasama berbanding perbalahan.
“Cabaran yang mendatang mungkin rumit, namun Malaysia pernah melalui tempoh sukar sebelum ini. Kita mampu menghadapinya sekali lagi sekiranya kita kekal bersatu, bertanggungjawab dan komited terhadap kepentingan bersama,” katanya.





