Enam ikhtiar kerajaan berpotensi beri impak kepada rakyat Sabah

KOTA KINABALU – Enam ikhtiar utama yang diumumkan kerajaan sempena Hari Kebangsaan 2026 berpotensi membantu ekonomi dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Sabah, menerusi pengurangan kos sara hidup, pembangunan kapasiti rakyat serta pengukuhan ekonomi akar umbi.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Dr Jain Yassin berkata, pengumuman itu hadir pada waktu yang cukup bermakna ketika rakyat menyambut Hari Kebangsaan dengan penekanan bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi juga kesejahteraan dan peluang rakyat.

“Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 sememangnya antara acara yang dinanti-nantikan oleh rakyat, khususnya kerana ia membawa mesej dan hala tuju kerajaan dalam mendepani cabaran semasa.

“Enam ikhtiar utama yang diumumkan hadir pada waktu yang cukup bermakna ketika kita menyambut Hari Kebangsaan.

“Penekanannya bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi juga kepada kesejahteraan dan peluang rakyat,” katanya kepada The Malaysia Press.

BUDI MADANI kurangkan beban rakyat

Menurut Jain, antara perkara utama yang dilihat mampu memberi kesan kepada rakyat ialah pengurangan kos sara hidup melalui peluasan BUDI MADANI dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

“Pengembalian had kelayakan kepada 300 liter dan 400 liter terutama bagi kenderaan diesel jenis pikap dan jip memberikan sedikit ruang kepada rakyat, khususnya di Sabah, untuk mengurus kos pergerakan dan aktiviti ekonomi harian.

“Dalam konteks Sabah yang mempunyai jarak perjalanan yang jauh dan kebergantungan tinggi kepada kenderaan, langkah ini penting bukan sahaja kepada isi rumah.

“Ia juga penting kepada petani, nelayan, peniaga kecil dan usahawan luar bandar,” jelasnya.

Selain pengurangan kos sara hidup, beliau berkata, pelaburan dalam kapasiti rakyat melalui pendidikan, kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan turut menjadi antara perkara utama dalam ikhtiar berkenaan.

“Tambahan RM500 juta kepada peruntukan penyelenggaraan sekolah merupakan satu langkah yang penting kerana infrastruktur pendidikan adalah asas kepada pembangunan modal insan.

“Selain itu, akses AI secara percuma kepada lebih 100,000 orang belia pula merupakan langkah yang relevan dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi perubahan dunia pekerjaan dan ekonomi yang semakin berasaskan teknologi.

“Selain itu, keputusan kerajaan melaksanakan pendigitalan kesihatan dapat meningkatkan kecekapan dan memudahkan akses rakyat, khususnya masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah yang berdepan jarak perjalanan yang jauh,” ujarnya.

Tambah Jain, perkara ketiga yang perlu diberi perhatian ialah pengukuhan ekonomi akar umbi melalui sokongan kepada peniaga kecil dan pengurangan beban pematuhan kepada perniagaan.

“Peningkatan ambang pelaksanaan e-Invois kepada RM3 juta dapat memberikan sedikit ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk menyesuaikan diri tanpa menambah tekanan kos pematuhan.

“Pada masa yang sama, penyediaan pembiayaan mikro dan Geran Sejahtera MADANI memberi peluang kepada peniaga kecil untuk mengekalkan operasi.

“Ia juga memberi peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya tahan,” kongsinya.


Impak sebenar perlu dinilai

Bagaimanapun, Jain berkata, enam ikhtiar berkenaan tidak seharusnya dilihat daripada pengumumannya semata-mata, sebaliknya persoalan lebih penting adalah impak sebenar yang mampu dihasilkan terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Sabah.

“Daripada sudut ekonomi, enam ikhtiar yang diumumkan ini sememangnya mempunyai potensi untuk membantu rakyat.

“Namun, persoalan yang lebih penting ialah apakah impak sebenar yang akan dihasilkan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Perkara ini khususnya perlu dilihat dalam konteks Sabah,” tegasnya.

Mengambil BUDI MADANI sebagai contoh, Jain berkata, impak inisiatif itu mungkin lebih luas kerana ia bukan sahaja berkaitan pengurangan kos sara hidup, malah mempunyai kaitan dengan pergerakan dan kelangsungan aktiviti ekonomi rakyat.

“Kemungkinan impak BUDI MADANI mungkin lebih besar kepada mobiliti dan kelangsungan aktiviti ekonomi rakyat berbanding sekadar mengurangkan kos sara hidup.

“Begitu juga dengan akses AI percuma. Tempoh akses AI percuma yang hanya tiga bulan mungkin lebih kepada pendedahan awal kepada AI sahaja.

“Persoalannya ialah bagaimana akses ini dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih berpanjangan, misalnya peningkatan kebolehpasaran dan kerjaya atau penciptaan sumber pendapatan baharu,” katanya.

Infrastruktur digital luar bandar perlu ditambah baik

Beliau berkata, manfaat daripada pendigitalan juga perlu dilihat berdasarkan realiti di Sabah, terutama keadaan infrastruktur digital di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kita belum mengambil kira kawasan luar bandar Sabah yang masih berdepan cabaran capaian internet.

“Sama halnya dengan kesihatan, infrastruktur digital khususnya di luar bandar dan pedalaman Sabah perlu ditambah baik.

“Ini supaya perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih cepat serta membantu mengurangkan kos dan jarak perjalanan rakyat,” katanya.

Dalam aspek pendidikan pula, Jain berkata, tambahan peruntukan kepada sekolah perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan bukan hanya tertumpu kepada penyelenggaraan infrastruktur.

“Pada pandangan saya, tambahan peruntukan sekolah perlu dilihat bukan sahaja sebagai kos penyelenggaraan, tetapi pelaburan nilai tambah pendidikan.

“Selain kemudahan yang kondusif, ia wajar menyokong STEM, kemahiran teknikal serta pembelajaran digital.

“Ini supaya ia bukan sekadar menambah kapasiti sekolah, tetapi meningkatkan kemahiran dan peluang ekonomi generasi muda,” katanya.

Mengenai pembiayaan mikro dan geran pula, beliau berkata, inisiatif sedemikian bukan sesuatu yang baharu, justeru pelaksanaannya perlu memastikan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan yang memerlukan.

“Pembiayaan mikro dan geran bukanlah sesuatu yang baharu.
“Namun, diharapkan di Sabah pemberiannya lebih bersasar kepada yang benar-benar layak dan memerlukan.

“Pada masa sama, pemberian berulang kepada penerima yang sama perlu dielakkan,” katanya.

Manfaat pembangunan perlu lebih adil

Secara keseluruhannya, Jain percaya enam ikhtiar itu merupakan langkah awal yang menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani keperluan dan cabaran rakyat, namun usaha berkenaan perlu diteruskan secara lebih menyeluruh.

“Saya percaya enam ikhtiar ini merupakan langkah awal keprihatinan kerajaan dalam menangani keperluan dan cabaran rakyat.

“Dalam semangat kemerdekaan, diharapkan usaha ini turut diperkukuh dengan ikhtiar yang lebih menyeluruh untuk mempererat perpaduan dan membina kesejahteraan yang lestari.

“Ini penting supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih adil oleh semua rakyat, tanpa mengira latar belakang dan lokasi,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam ikhtiar utama sempena Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad, yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menangani cabaran semasa.

Related Posts

Brunei, Indonesia sertai perbarisan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026

KOTA KINABALU – Penyertaan kontinjen dari Brunei Darussalam dan Indonesia mencuri perhatian pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens di sini, pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Akhlak, ilmu jadi tunjang perkasa jati diri Muslim

DEBAK – Penghayatan ilmu agama perlu diterjemahkan melalui amalan dan pembentukan akhlak bagi memastikan umat Islam mampu membina jati diri yang kukuh dalam menghadapi cabaran semasa. Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Momen mesra Anwar bersama bayi raih reaksi positif pengguna media sosial

Momen mesra Anwar bersama bayi raih reaksi positif pengguna media sosial

Enam ikhtiar kerajaan berpotensi beri impak kepada rakyat Sabah

  • By Ezmie
  • August 31, 2026
Enam ikhtiar kerajaan berpotensi beri impak kepada rakyat Sabah

Brunei, Indonesia sertai perbarisan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026

  • By Ithma
  • August 31, 2026
Brunei, Indonesia sertai perbarisan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026

Akhlak, ilmu jadi tunjang perkasa jati diri Muslim

Akhlak, ilmu jadi tunjang perkasa jati diri Muslim

SADA mahu teroka peluang baharu, pacu pembangunan Sri Aman

SADA mahu teroka peluang baharu, pacu pembangunan Sri Aman

50,000 meriahkan Hari Kebangsaan, Hari Sabah 2026

  • By Ithma
  • August 31, 2026
50,000 meriahkan Hari Kebangsaan, Hari Sabah 2026