
AHLI Parlimen Bagan Lim Guan Eng menerima ‘angpow’ Tahun Baru Cina sebanyak RM1.4 juta daripada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
‘Angpow’ yang dimaksudkan itu sebenarnya ialah bayaran saman fitnah Muhyiddin kepada Pengerusi DAP berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mendepositkan kos sebanyak RM50,000 ke dalam akaun firma guaman mewakili Guan Eng iaitu Guok Ngek Seong.
Guok berkata pemindahan pertama sebanyak RM400,000 telah dibuat pada Disember lalu. Manakala baki RM1 juta telah dimasukkan semalam sebelum tarikh akhir 27 Januari.
Pada 8 November 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Mahiaddin membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Guan Eng dan kos RM50,000 selepas memutuskan bekas perdana Menteri itu telah memfitnah Guan Eng dalam hantaran di Facebook pada Mac 2023.
Hantaran itu mendakwa Guan Eng sebagai punca Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan status pengecualian cukai terhadap yayasan Albukhary dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan, selain mendakwa beliau mengenakan cukai ke atas yayasan itu dan penalti 45% ke atas cukai dibayar untuk tahun-tahun sebelumnya.
Muhyiddin juga didapati memfitnah Guan Eng apabila mendakwa arahan pembatalan mesti berasal daripada Lim memandangkan LHDN di bawah bidang kuasanya.
Semalam, Guan Eng turut menerima ‘angpow’ bernilai RM275000 daripada Ahli Parlimen Pas Dr Siti Mastura Muhammad.
Siti Mastura yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas telah diperintahkan Mahkamah untuk membayar saman fitnah kepada Guan Eng dan dua lagi pemimpin DAP sebanyak RM830,034.75.








