PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 6, 7 dan 8 setaraf dengan ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dibawa ke peringkat Kabinet oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong minggu lalu.
Menurutnya, pengiktirafan akreditasi itu kelak membolehkan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menikmati kadar gaji premium lebih tinggi berbanding sekarang.
“Saya beritahu kerana sebelum ini pandangan ibu bapa dan pelajar terhadap TVET adalah rendah.
“Bagaimanapun, pemikiran ini semakin berubah dengan adanya tawaran peluang pekerjaan lebih berpotensi dengan gaji premium,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs di Dewan Serbaguna Datuk Abdullah Ahmad di Hutan Melintang, dekat Bagan Datuk, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas meninjau fasiliti Malaysia China Institute, berkata pengiktirafan SKM supaya setaraf tiga ijazah berkenaan perlu mendapat perakuan dan kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia terlebih dahulu.







