
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneruskan agenda pembasmian kemiskinan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dengan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan pencapaian sifar miskin tegar negeri.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, kejayaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam mengurangkan kadar kemiskinan akan dijadikan asas untuk menambah baik serta memperluaskan program bantuan mengikut keperluan rakyat.
Katanya, RS-1 memberi formula berkesan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di Selangor.
“Justeru, kita akan menilai segala pencapaian dan menambah baik inisiatif sedia ada supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat.
“Matlamat kita bukan sekadar mengekalkan pencapaian sifar miskin tegar tetapi memastikan lebih ramai penerima bantuan berjaya meningkatkan taraf hidup,” katanya, seperti dipetik Media Selangor pada Isnin.
Pada 29 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Selangor berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan.
Papparaidu berkata pencapaian berkenaan merupakan antara kejayaan membanggakan sepanjang pelaksanaan RS-1, selain membuktikan rancangan itu bukan sekadar kerangka pembangunan negeri.
“Sasaran ini hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama semua pihak agar setiap inisiatif memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Papparaidu berkata RS-1 merangkumi pelbagai portfolio pentadbiran negeri dengan pendekatan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Katanya, antara inisiatif yang akan diteruskan menerusi RS-2 termasuk Karnival Kerjaya Jobcare Selangor dan Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup.
“Daripada golongan profesional sehingga kepada bayi yang baru dilahirkan. Sebab itu, saya melihat RS-1 sebagai satu dokumen atau kerangka kerja yang menyeluruh untuk warga Selangor.
“Pendekatan ini meletakkan Selangor pada landasan tepat untuk meneruskan pembangunan mampan, inklusif dan seimbang sekali gus memastikan manfaat kemajuan negeri dinikmati seluruh rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai pembentangan RS-2 yang dijangka tidak lama lagi, Papparaidu berkata pembangunan masa depan negeri perlu terus memberi keutamaan kepada aspek modal insan kerana rakyat merupakan aset paling bernilai serta pemacu kemajuan Selangor.



