
LUMUT – Selepas hampir lima dekad menggalas amanah mempertahankan kedaulatan perairan negara, Kapal Diraja (KD) Hang Tuah bakal memulakan legasi baharu apabila dijadikan Memorial Muzium KD Hang Tuah, sekali gus muncul sebagai ikon pelancongan maritim terbaharu di Perak.
Kerajaan Negeri Perak secara rasmi menerima penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam usaha memelihara warisan pertahanan negara, selain menjadikannya pusat pendidikan sejarah, tarikan pelancongan dan pemangkin ekonomi setempat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penyerahan kapal yang pernah menjadi antara aset terpenting TLDM itu bukan sekadar pemindahan aset, sebaliknya satu amanah untuk memastikan sejarah perjuangan dan pengorbanannya terus dihayati oleh generasi akan datang.
“Kapal ini sebelum ini menjaga perairan negara. Kini, ia menjadi sejarah dan warisan yang perlu kita pelihara.
“Insya-Allah kapal ini akan dijadikan Memorial Muzium KD Hang Tuah yang menggabungkan elemen pemuliharaan sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti,” katanya pada majlis penyerahan kapal di Pangkalan TLDM Lumut, pada Isnin.

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.
Ujar beliau lagi, memorial berkenaan akan dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) dan Aero-Art Sdn. Bhd. dengan sasaran siap serta dibuka kepada orang ramai pada 2027.
“Pembangunan itu diyakini mampu memperkukuh kedudukan Lumut sebagai hab pelancongan maritim negara, di samping menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade Lumut menerusi peningkatan kehadiran pelancong serta peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
“Kompleks memorial itu akan dilengkapi taman awam yang boleh dikunjungi secara percuma, zon komersial untuk usahawan tempatan, ruang aktiviti keluarga dan komuniti serta kemudahan bagi penganjuran pameran, persidangan dan pelbagai program,”jelasnya.

Saarani berkata, kapal yang asalnya dikenali sebagai HMS Mermaid itu dibina di Scotland sebelum ditauliahkan sebagai KD Hang Tuah pada 22 Julai 1977 dan berkhidmat hampir lima dekad dalam armada TLDM.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, kapal itu belayar lebih 313,000 batu nautika serta memainkan peranan penting dalam pelbagai operasi pertahanan negara termasuk Operasi Fajar di Teluk Aden pada 2009 bagi melindungi kapal dagang Malaysia daripada ancaman lanun.
Beliau berkata, Memorial Muzium KD Hang Tuah bukan sahaja akan menjadi simbol penghargaan terhadap jasa warga TLDM, malah berperanan menyemai semangat patriotisme dan menjadi pusat pembelajaran sejarah pertahanan negara.
“Usaha ini bukan sahaja dapat memelihara khazanah sejarah negara, malah turut merancakkan sektor pelancongan, menjana ekonomi setempat dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau yakin memorial itu mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi, sejajar dengan pencapaian Perak yang merekodkan 23.6 juta pelawat domestik tahun lalu, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.



