Pembelanjaan pembangunan diunjur RM58 bilion, 70 peratus fokus pembangunan asas

PUTRAJAYA – Peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2027 diunjurkan sekitar RM58 bilion, dengan 70 peratus daripadanya dijangka disalurkan kepada pembangunan asas.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu masih merupakan unjuran awal kementeriannya dalam merangka perancangan pembangunan negara sebelum cadangan berkenaan dimuktamadkan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Perancangan pembangunan bagi 2027 akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi Kementerian Ekonomi sebelum dikemukakan kepada MOF,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Menurutnya, peruntukan tersebut penting bagi memastikan kesinambungan projek pembangunan, mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta mempercepatkan pembangunan fizikal negara.

Akmal Nasrullah berkata, kerajaan turut mengekalkan formula dalaman dengan menetapkan sekitar 70 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan untuk pembangunan asas.

Langkah itu, katanya, turut membolehkan projek serta kerja pembangunan sedia ada diteruskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Pada 2026, peruntukan bagi projek DE asas meningkat kepada RM57.6 bilion atau 71 peratus daripada keseluruhan DE, berbanding RM55.67 bilion atau 65 peratus pada 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akhir berkaitan jumlah keseluruhan peruntukan Belanjawan 2027 akan dinilai dan ditentukan oleh MOF.

Mengulas kemungkinan harga minyak global dijadikan antara penanda aras dalam penyediaan Belanjawan 2027, Akmal Nasrullah berkata perkara itu berada di bawah bidang kuasa MOF.

“Harga minyak adalah antara faktor yang perlu diambil kira dan penilaian itu dibuat pada peringkat Kementerian Kewangan.

“Pada peringkat kami, tumpuan adalah terhadap perbelanjaan pembangunan, manakala penilaian untuk mengimbangi keperluan fiskal termasuk unjuran harga minyak bagi tahun depan akan ditentukan oleh MOF,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata kerajaan perlu kekal berwaspada meskipun ekonomi negara mencatat prestasi memberangsangkan pada separuh pertama 2026.

Katanya, anggaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua menjadikan pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini sebanyak 5.6 peratus.

Prestasi itu, katanya, mengatasi unjuran Bank Negara Malaysia antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi keseluruhan 2026.

Namun, beliau berkata pertumbuhan tinggi pada separuh pertama tahun ini turut mewujudkan cabaran untuk mengekalkan momentum sama pada suku ketiga dan keempat.

Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira faktor luaran termasuk fenomena El Nino yang berpotensi memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Related Posts

Malaysia sedang menuju sasaran 12 ekonomi paling berdaya saing dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada landasan tepat bagi mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia, kata Timbalan Menteri Ekonomi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kolej Komuniti Jelai pemangkin modal insan, ekonomi setempat

LIPIS – Penubuhan Kolej Komuniti Jelai dekat Tanjung Gahai, di sini, bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan modal insan dan ekonomi luar bandar. Kolej itu bakal menawarkan program berteraskan agroteknologi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembelanjaan pembangunan diunjur RM58 bilion, 70 peratus fokus pembangunan asas

Pembelanjaan pembangunan diunjur RM58 bilion, 70 peratus fokus pembangunan asas

Malaysia sedang menuju sasaran 12 ekonomi paling berdaya saing dunia

Malaysia sedang menuju sasaran 12 ekonomi paling berdaya saing dunia

Beri mandat pada PH, nilai rekod tadbir urus Aminuddin

Beri mandat pada PH, nilai rekod tadbir urus Aminuddin

Jangan kaitkan institusi diraja dalam kempen PRN – Istana Negeri Sembilan

Jangan kaitkan institusi diraja dalam kempen PRN – Istana Negeri Sembilan

KMKK tonggak utama kelestarian alam sekitar peringkat akar umbi

KMKK tonggak utama kelestarian alam sekitar peringkat akar umbi

RCI Tabung Haji: Kalau salah mesti didakwa – Anwar

RCI Tabung Haji: Kalau salah mesti didakwa – Anwar