
PUTRAJAYA – Langkah interim oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengurangkan beban pemegang polisi insurans yang mengalami peningkatan kenaikan premium dilihat hanya tindakan sementara dan memerlukan penyelesaian secara holistik.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak berkepentingan utama dalam memastikan kedua-dua penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang mampan dalam memastikan kepentingan semua pihak.
Menurut beliau, pihaknya amat prihatin terhadap inflasi kos perubatan dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian jangka panjang berhubung inflasi kos perubatan yang dikesan membebankan masyarakat setempat.
“Langkah interim diumumkan BNM adalah satu usaha meringankan beban kewangan rakyat khususnya pemegang polisi insurans yang terkesan dengan peningkatan kos penjagaan kesihatan.
“Sehubungan itu, APHM menyambut baik usaha untuk mengurangkan tekanan dalam akses kepada penjagaan kesihatan pada masa mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.
Beliau berkata demikian, sebagai mengulas pendedahan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Ahli Parlimen dalam satu taklimat baru-baru ini, mengenai caj perubatan yang berbeza sehingga empat kali ganda dikesan berlaku antara pemegang insurans dan pesakit yang membayar tunai.

Mengulas lanjut, Kuljit berkata, beliau berkata, APHM, pengendali insurans dan takaful (ITO) bersedia bersama kerajaan untuk menyumbang ke dalam dana RM60 juta bagi mempercepatkan reformasi kesihatan rakyat.
“Keutamaan APHM adalah dalam menjaga kesejahteraan pesakit yang memerlukan rawatan dan APHM komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mencapai penyelesaian jangka panjang yang berasaskan bukti untuk isu inflasi kos perubatan.
“Kami sedang berusaha untuk berunding dengan pihak berkepentingan utama kerajaan dan akan berkongsi lebih lanjut apabila perbincangan tersebut selesai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad menyeru syarikat insurans dan ITO melaksana kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk mencari penyelesaian bagi menangani kenaikan premium insurans perubatan.

Jelasnya, kerjasama tersebut adalah penting bagi memastikan pelbagai pihak dapat mengawal lonjakan kos secara mendadak.
“Kita perlu bekerjasama dengan pengurusan hospital dan doktor untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengawal kenaikan harga. Jika dilihat dari sudut inflasi, kos perubatan memang sedang meningkat, tetapi kadar kenaikannya berbeza-beza,.
“Bank pusat juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan penyedia perkhidmatan kesihatan bersikap telus dalam menetapkan caj kepada pengguna dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara mendadak.
Terdahulu, BNM mengumumkan langkah interim yang dipersetujui industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
Antara langkah itu, penanggung insurans dan pengendalian takaful (ITO) akan melaksanakan perubahan premium yang diagihkan (spread out) untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.
Langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026 dan sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus.





