
PAUH – Program AI Summer Camp University Tour 2024 diramal menjadi model pendidikan inovatif yang mampu meningkatkan daya saing pelajar serta menjadikan Perlis sebagai pusat utama pendidikan teknologi di rantau ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif itu berperanan besar dalam membentuk generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), tetapi juga melatih pelajar berfikir secara kritis dan kreatif untuk mencipta peluang baharu dalam ekonomi digital global.
“Pendidikan teknologi yang kukuh di negeri Perlis mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan bertaraf dunia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutupan AI Summer Camp University Tour 2024 di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Pauh UniMAP, hari ini.
Program anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Institut Informatik Visual Universiti Kebangsaan Malaysia (IVI UKM) itu dilihat sebagai platform penting untuk melahirkan bakat muda yang mampu menguasai teknologi terkini.
Tambah baginda, program ini memainkan peranan signifikan untuk memastikan anak muda Perlis bukan sekadar pengguna teknologi tetapi turut menjadi pemacu pembangunan ekonomi digital global.
“Gunakan ilmu yang diperoleh sebagai aset untuk mencipta peluang baharu dan memberi manfaat kepada masyarakat, negeri, dan negara. Kejayaan individu adalah sebahagian daripada kejayaan kolektif untuk memajukan ummah,” titah baginda lagi.
AI Summer Camp turut melibatkan pelajar dari institusi pengajian tinggi di Zon Tengah dan Zon Timur, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Melalui pendekatan ini, Perlis dijangka mengorak langkah lebih jauh dalam mencipta ekosistem pendidikan teknologi yang berdaya saing, sekali gus meletakkan negeri itu sebagai hab pendidikan teknologi bertaraf antarabangsa.

