
PEMBANGKANG berterusan memanipulasi keadaan dakwaan Kerajaan Madani membatalkan projek tebatan banjir di beberapa buah kawasan.
Fakta yang dimanipulasikan itu kononnya kerajaan membazirkan RM1 bilion wang rakyat ketika projek tersebut dibatalkan dan kemudian ditender semula menyebabkan kenaikan kos daripada RM7 bilion naik kepada RM8 bilion.
Tuduhan tersebut adalah fitnah politik rekaan pembangkang semata-mata.
Menurut laporan media pada 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk Pantai Timur berjumlah RM15 bilion setelah ditender semula, angka itu berkurangan.
Yang sebenar-benarnya berlaku adalah, Perdana Menteri mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.
Oleh itu, Anwar mengarahkan Kementerian Kewangan untuk memeriksa semula kelulusan untuk memastikan ianya mematuhi tatakelola dan peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, ia selaras dengan prinsip Kerajaan Madani bahawa proses tender ini perlu berjalan dengan telus dan kebocoran dari terdahulu berpunca daripada amalan rundingan terus.
“Ia (pemberian tender) ikut kontraktor yang kenal dengan kementerian atau menteri, dan akan menetapkan berdasarkan kadar, kemudian penilaian teknikal dan sebagainya.
“Dalam kes ini (projek tebatan banjir) dipercepat kerana tender terhad. Sekurang-kurangnya ada perbandingan antara 10 syarikat yang berkeupayaan dan mereka akan berikan kos munasabah, dipercepat kerana anggap program ini segera.
“Setakat ini, melainkan satu di Terengganu, jika tidak salah saya, (projek) yang lain memang masih ikut jadual. Ia tidak (mengganggu),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Setakat ini, kemajuan projek tebatan banjir di Pantai Timur, di Kelantan, Fasa Satu, meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah siap 70 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.
Fasa Dua, meliputi jajahan Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas diminta dipercepat, manakala Fasa Tiga, meliputi jajahan Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli sudah siap empat peratus.







