
KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) terus meningkat kepada 922,318 orang pada tahun 2023 berbanding hanya daripada 424,000 orang pada tahun 2019.
Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, data tersebut diperoleh menerusi Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yaang berfokus kepada kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia.

“Dapatan NHMS menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun di mana idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada tahun 2012 kepada 13.1 peratus pada 2022.
“Pelan bunuh diri meningkat daripada 6.4 peratus pada tahun 2012 kepada 10 peratus pada tahun 2022 dan peningkatan cubaan bunuh diri juga turut direkodkan daripada 6.8 peratus pada tahun 2012 kepada 9.5 peratus pada tahun 2022,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan IPT serta pendekatan kerajaan untuk menanganinya.
Lukanisman berkata, bagi menangani isu yang kian bertambah itu, KKM mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja.
Mengulas lanjut, katanya KKM turut menyediakan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental Talian HEAL 15555 dan melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.
“KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 Klinik Kesihatan, 68 hospital dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) serta penempatan 200 pegawai psikologi di daerah dan klinik kesihatan.
“KKM juga berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027. Sehingga kini, terdapat 18 pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di hospital KKM,” katanya.
Jelas beliau, langkah lain adalah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan seperti Hari Belia Negara dan Program Siswa Sihat (Prosis) iaitu kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Tambah beliau, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan aktiviti advokasi kesihatan mental di peringkat komuniti turut dilaksanakan.







