Capaian internet, masa skrin jadi cabaran utama PdPR musim jerebu

KUCHING – Sesi persekolahan secara bersemuka bagi lapan daerah di negeri ini diarahkan tutup berkuat kuasa serta-merta bermula 20 Ogos hingga 21 Ogos ini susulan fenomena jerebu yang menjejaskan kualiti udara tempatan.

Berdasarkan hebahan rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, arahan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) itu melibatkan semua sekolah di bawah seliaannya bagi daerah Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Lubok Antu.

Susulan penutupan mengejut tersebut, para pendidik segera menyusun semula strategi pembelajaran bagi memastikan kelangsungan pendidikan pelajar tidak terjejas, pada masa sama tidak membebankan mereka.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Apar Bau, Lizleona Kennedy Ating, 29, berkata, sesi pembelajaran akan diteruskan mengikut kesesuaian murid dengan menggunakan platform digital seperti Google Classroom, WhatsApp, Telegram dan Google Meet.

Menurutnya, peralihan secara tiba-tiba itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perancangan pengajaran asalnya, namun penyesuaian kaedah segera dilakukan.

“Aktiviti yang memerlukan interaksi secara langsung, kerja berkumpulan atau penggunaan kemudahan sekolah terpaksa ditangguhkan.

“Bagi mengelakkan murid terbeban, tugasan yang diberikan adalah ringkas dan mudah difahami memandangkan PdPR ini hanya dilaksanakan untuk tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan wujudnya cabaran lain, terutamanya berhubung masalah capaian internet murid, tahap penglibatan serta kesukaran memantau kefahaman mereka secara langsung.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu, Nurul Fathin Aisha Mahdi, 29, turut mengambil pendekatan fleksibel dengan memberi kelonggaran dari segi masa penghantaran tugasan.

Jelasnya, beliau amat memahami bahawa keadaan udara berjerebu boleh menjejaskan kesihatan serta tumpuan murid ketika belajar dari rumah.

“Oleh itu, saya tidak akan membebankan mereka dengan lambakan kerja sekolah, sebaliknya akan terus memanfaatkan platform seperti WhatsApp dan Telegram untuk menyampaikan arahan serta bahan pembelajaran yang bersesuaian,” ujarnya.

Dalam pada itu, guru SMK Kota Samarahan, Befod Nawog, 55, amat mengharapkan agar situasi jerebu segera pulih memandangkan kaedah PdPc secara bersemuka terbukti jauh lebih berkesan untuk menyampaikan ilmu berbanding PdPR.

“Kerajaan mungkin boleh mengambil pendekatan proaktif seperti operasi pembenihan awan dan sebagainya agar masalah jerebu ini dapat ditangani dengan segera,” tambahnya.

Selain itu, ujar Befod, penutupan sekolah bukan suatu keputusan yang mudah dan dibuat dengan sewenang-wenangnya setelah mengambil kira aspek kesihatan pelajar.

“Oleh itu, keputusan tersebut terpaksa dibuat demi untuk memastikan pelajar dilindungi daripada jerebu,” kata Befod lagi

Bagi pelajar SMK Tebakang, Dayang Zahirah Abang Tomizi, 13, dia menaruh harapan agar tiada masalah gangguan capaian internet berlaku bagi membolehkan kelas dalam talian berjalan dengan lancar.

Tambahnya, perancangan pembelajaran berstruktur amat penting ketika ini bagi memastikan murid kekal bermotivasi, selain mengelakkan mereka daripada terbeban dengan masa menghadap skrin peranti yang terlalu lama.

Related Posts

Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar 70 peratus

KUANTAN – Empat beranak berdepan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Pandan 1, dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4 petang tadi. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KGBS saran pendekatan kreatif jayakan PdPR tanpa bebankan guru dan murid

KUCHING – Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik langkah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan kemerosotan kualiti udara di Sarawak serta menyifatkannya sebagai satu pendekatan proaktif demi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Capaian internet, masa skrin jadi cabaran utama PdPR musim jerebu

Capaian internet, masa skrin jadi cabaran utama PdPR musim jerebu

Jangan berdiam diri, masyarakat perlu peka lindungi mangsa keganasan rumah tangga – Nancy Shukri

Jangan berdiam diri, masyarakat perlu peka lindungi mangsa keganasan rumah tangga – Nancy Shukri

Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar 70 peratus

Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar 70 peratus

Anwar dijangka umum beberapa langkah penting negara pada 30 Ogos, 16 September

Anwar dijangka umum beberapa langkah penting negara pada 30 Ogos, 16 September

Dasar Satu China pendirian Malaysia sejak era Tun Razak – PM

Dasar Satu China pendirian Malaysia sejak era Tun Razak – PM

Kerajaan bawa RUU mansuh AUKU ke Parlimen tahun ini

Kerajaan bawa RUU mansuh AUKU ke Parlimen tahun ini