
KLANG – Kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ke Parlimen tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, proses menggubal undang-undang baharu itu sedang berjalan sebagai usaha memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk berkembang, termasuk berfikir, berbincang dan menyuarakan pandangan secara matang.
“Sekarang ini, si Anwar ni dah jadi Perdana Menteri, (jadi kita) tukarlah undang-undang (AUKU)… (ada cadang) nak tukar sikit, saya tak setuju.
“Bagi ruang anak-anak (mereka sudah) dewasa dah matang… adakah tak akan berlaku kesilapan, memang akan berlaku kesilapan, (tetapi kita) didiklah (dan) tegur.
“Semalam dengan mesyuarat jemaah menteri, saya kata saya nak batalkan keseluruhannya,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Temu Anwar dan Majlis Perasmian HAMKA Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Menurut Anwar, AUKU akan digantikan dengan akta baharu yang memberi lebih ruang kepada pengurusan universiti, tanpa mengekang kebebasan mahasiswa.
“Kalau ada keperluan Akta Pengurusan Universiti, kuasa Dekan, senat, Lembaga Pengajian… itu soal lain tapi jangan ganggu dan bagi ruang.
“Jadi, saya masih dalam perjalanan dan insya-Allah tahun ini juga kita akan letakkan RUU (baharu) itu dan diluluskan di Parlimen,” katanya.
Sebelum ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, undang-undang baharu yang bakal menggantikan AUKU tidak akan merangkumi aspek yang mengongkong atau menyekat pelajar dan mahasiswa.
Sebaliknya, RUU berkenaan akan memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan universiti serta kolej universiti.
AUKU yang diperkenalkan pada 1971 telah dipinda sebanyak tujuh kali, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.
AUKU turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009, manakala pindaan terbaru pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar universiti awam tidak lagi tertakluk kepada kuasa Naib Canselor.
Sebaliknya, tindakan berkenaan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.






