
PEMIMPIN muda perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu dan permasalahan utama yang dihadapi oleh rakyat selain mengeluarkan retorik semata-mata.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Danial Al-Rashid Haron berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengingatkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim mendakwa bahawa sokongan terhadap pemimpin muda berdepan risiko ekoran kegagalan menangani isu berkaitan belia.
Menurut Danial, pemimpin muda perlu mengutamakan penyelesaian terhadap isu-isu mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan serta pendidikan berkualiti untuk rakyat.
Beliau berkata, ini adalah langkah utama untuk memastikan kepercayaan rakyat terus kukuh, sekaligus mengelak daripada dilihat sebagai hanya bermain politik tanpa hala tuju yang jelas.
“Isu PTPTN, sebagai mantan menteri, Syed Saddiq jelas kedudukan perkara ini, soal kemampuan dan keterbatasan dana negara, namun beliau tetap memainkan isu ini sebagai bahan untuk menempelak kerajaan, ini merupakan sikap yang tidak selari dengan idea membangunkan negara itu sendiri.
“Saya percaya pemimpin muda perlu menunjukkan kematangan dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan menjunjung nilai-nilai integriti serta kejujuran. Kepercayaan ini perlu diperkukuhkan dengan tindakan yang nyata, bukan sekadar cakap-cakap.
“Masa depan negara memerlukan kepimpinan yang benar-benar berpaksikan kepada agenda pembangunan negara dan tidak terganggu oleh tindakan-tindakan yang boleh merencatkan misi ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor Batu Tiga, berkata, masa depan negara bergantung kepada kepimpinan yang telus memacu keara agenda pembangunan negara tanpa tindakan yang tidak sewajarnya.
Tambah Danial, kini rakyat telah memberikan mandat kepada generasi muda dengan harapan mereka membawa pembaharuan dan jika dikhianati seperti tindakan Muda meninggalkan gabungan pilihan rakyat, secara tidak langsung menjejaskan imej serta kredibiliti pemimpin muda.
“Tindakan Muda menyertai blok pembangkang setelah menang melalui Blok Pakatan Harapan (PH) adalah satu pengkhianatan yang jelas, yang telah benar-benar merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan muda. Sepatutnya, sebagai pemimpin muda, harus berfikiran luas dan berjuang dengan prinsip, bukan sempit mengikut emosi sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan untuk mengundi orang muda sebagai calon.
“Jangan rosakkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin muda. Akibat daripada tindakan sebegini, imej pemimpin belia telah tercalar. Seperti kata pepatah, nila setitik rosak susu sebelanga.
“Kita perlu memulihkan semula kepercayaan itu dengan lebih baik dan berjuang untuk rakyat dengan keikhlasan serta kesetiaan kepada amanah yang diberikan,” katanya.




