
KOTA BELUD – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Ahad ketika pergi menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh, di sini ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun, berkata mangsa Noordin Punjuh, 51, ditemukan oleh penduduk kampung pada pukul 12.56 tengah malam dalam jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari pertama dalam kejadian itu dipecahkan kepada tujuh kumpulan.
“Pasukan operasi terdiri daripada bomba, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan penduduk kampung.
“Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan atau ‘surface searching’ menggunakan bot serta turut dilakukan teknik ‘wave’,” jelas beliau menerusi kenyataan di sini pada Selasa.
Tambah beliau, pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba yang dibuat dengan jarak keseluruhan lapan kilometer.






