
PAGOH – Rata-rata penduduk di Parlimen Pagoh di sini, kesal dengan masalah campur tangan politik hingga menyebabkan beberapa projek perumahan rakyat yang sedang dalam pembinaan terbengkalai.
Dakwa mereka, projek perumahan pelbagai jenis antaranya Program Rumah Transit, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Perumahan Generasi Kedua itu sepatutnya telah siap selepas kerja-kerja pembinaan bermula sejak kira-kira 2017.
Bagi seorang peneroka di Tanah Rancangan Felda Moakil, Bukit Kepong, di sini, Husin Pardi, 60, berkata, projek perumahan yang telah dinantikan sejak 10 tahun telah pun dibina dan hampir siap sebelum pelaksanaannya terhenti akibat perubahan politik.
“Agak rugi sebab projek dah hampir siap, cuma tinggal laluan dan sumber air sahaja belum masuk lagi. Tapi bila tergendala begini, rumah tu kosong dan sepi. Untuk apa?
“Saya mohon pemimpin selepas ini tamatkan penantian kami, selesaikan terus projek rumah rakyat. Sayang bila lihat rumah dah wujud, tapi masih belum boleh digunakan,” katanya kepada The Malaysia Press.

Sementara itu, seorang lagi komuniti Felda, Asiah Manas, 60, berkata, penangguhan projek yang sepatutnya menjadi hak kepada generasi kedua dan ketiga tergendala selepas perubahan politik yang berlaku.
Terdahulu, tinjauan mendapati, beberapa projek rumah mampu milik di kawasan ini telah lama terbengkalai dan tidak lagi diteruskan.
Hal ini disebabkan perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang mana ada sebahagiannya projek telah memasuki fasa akhir, namun tidak dapat diteruskan.
Menurut sumber, projek berkenaan diusahakan oleh bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamed (kini dikenali sebagai DUN Bukit Kepong) dengan segalanya berjalan lancar sehinggalah peralihan pentadbiran kerajaan pusat pada 2018.
Sumber berkata, perubahan tampuk pimpinan yang ditadbir oleh wakil rakyat daripada Bersatu di peringkat Parlimen dan ADUN ketika itu telah mengakibatkan projek terhenti ekoran keengganan mereka menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja pembinaan yang diusahakan oleh pihak UMNO.



