
KUCHING – Sebanyak 24 projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sarawak sejak 2016 hingga 2022 akan diberi keutamaan siap sepenuhnya sebelum Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan kira-kira RM1.4 bilion diperlukan untuk pelaksanaan kesemua projek berkenaan yang kebanyakannya melibatkan di kawasan luar bandar.
“Ada juga beberapa jumlah lain yang kami muktamadkan. Kita juga ada pendekatan (menilai semula jumlah peruntukan) disebabkan kos pembinaan meningkat,” kata beliau merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Selain itu, beliau turut menjelaskan terdapat aspek lain seperti pengambilan tanah akan diselesaikan oleh kerajaan negeri terlebih dahulu menerusi agensi sendiri yang mempunyai dana awalan, bagi menyelesaikan masalah sedemikian.
“Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), menjadi antara keutamaan yang perlu disegerakan bagi memudahkan rakyat dari pekan kecil dan bandar tertentu memasuki jalan utama serta Lebuhraya Pan Borneo,” kata beliau lagi.
Ujar beliau, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sejumlah RM85 juta bagi kerja menaik taraf jalan balak di negeri itu, yang dijangka selesai sepenuhnya tahun ini.






