
PUTRAJAYA – Pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Difahamkan siasatan itu dijalankan disebabkan sebab jumlah kerugian direkodkan agensi berkaitan kerajaan berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.
Difahamkan antara fokus siasatan ketika ini adalah berkaitan pengurusan kewangan dalam pelaburan serta unsur rasuah dalam perniagaan itu, lapor Berita Harian.
Kelmarin, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian RM43.9 juta dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memberi respons mengenai isu itu dengan berkata, akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang berkenaan.
Mereka turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.
Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.









