
PUTRAJAYA – Tindakan sebuah stesen radio mengaitkan ibadah solat dengan perlawanan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris merupakan perbuatan tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hassan berkata, ibadah solat tidak boleh dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan atau elemen parodi dalam sebarang bentuk penyiaran kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.
Beliau menegaskan, solat merupakan tiang agama serta syiar suci umat Islam yang wajib dipelihara kemuliaannya daripada sebarang bentuk tindakan yang boleh mempersendakan ibadah berkenaan.
“Dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, semua pengamal media serta pencipta kandungan diingatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti keagamaan dan mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan.
“Kebebasan berkarya dan bersuara tidak sesekali menghalalkan tindakan mempersendakan ritual ibadah atau menyentuh perkara asas akidah yang boleh mengundang kemarahan serta menggugat ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Zulkifli mahu pihak terbabit supaya segera memastikan kandungan berkenaan diturunkan dan pihak yang terlibat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Beliau turut menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Marilah kita bersama-sama memelihara adab, saling menghormati kesucian agama, serta menjadikan platform media sebagai wadah yang mendidik dan menyatupadukan masyarakat demi keredaan Allah,” katanya.
Sebelum ini, sebuah stesen radio tempatan telah mengundang kecaman hebat netizen selepas memuat naik satu rakaman video yang menunjukkan dua individu sedang bersolat dengan kapsyen bertajuk Praying for Man United selepas perlawanan menentang Sporting CP.
Video berkenaan mencetuskan perhatian dan reaksi orang ramai kerana menggunakan elemen ibadah solat dalam kandungan berkaitan bola sepak sekali gus menimbulkan persoalan mengenai batas sensitiviti agama dalam penghasilan kandungan hiburan.
Bagaimanapun, dua penyampai radio tersebut, Ean Nasrun dan Adam Raqeem tampil memohon maaf susulan tindakan mereka menjadikan ibadah solat sebagai kandungan media sosial dengan kapsyen berdoa untuk Manchester United.
“Kami sedar bahawa kami tidak sepatutnya menggunakan agama sebagai sebahagian daripada kandungan kami. Kami benar-benar memohon maaf. Ia satu kesilapan besar dan anda tidak dapat bayangkan betapa menyesalnya kami,” kata mereka menerusi rakaman video di media sosial.
Kedua-duanya turut mengakui tindakan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada stesen radio, malah keluarga masing-masing.
Mereka juga menyatakan kesediaan menerima apa sahaja tindakan yang diputuskan pihak pengurusan tanpa cuba memberikan sebarang alasan
“Kami tidak mahu lari daripada tanggungjawab. Apa sahaja tindakan yang diputuskan terhadap kami, kami terima.
“Pada ketika itu, kami tidak berfikir panjang dan itu sepenuhnya kesalahan kami. Tiada orang lain yang harus dipersalahkan,” ujar mereka.


