
KOTA KINABALU – Pemergian mantan Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail, disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Sabah, malah seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Allahyarham yang berasal dari Lahad Datu banyak menabur jasa dan bakti dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara.
“Segala sumbangan dan khidmat bakti beliau akan sentiasa dikenang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, pada Jumaat.
Hajiji turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh perundangan berkenaan.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Terdahulu, Allahyarham Abdul Gani dilahirkan di Lahad Datu pada 6 Oktober 1955 dan merupakan graduan undang-undang Universiti Malaya.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1980 sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kota Kinabalu sebelum dilantik sebagai Peguam Negara kelapan Malaysia pada 1 Januari 2002.


