
KUANTAN – Hasrat anak-anak Pahang yang menuntut di Mesir bukan sekadar untuk menamatkan pengajian, tetapi untuk pulang dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
Perkara itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh hasil lawatan delegasi kerajaan negeri ke Mesir yang memberi peluang kepada wakil rakyat mendengar secara langsung keluhan, keperluan dan cabaran dihadapi mahasiswa Pahang di perantauan.
“Kita tidak mahu anak-anak Pahang yang bertahun-tahun menimba ilmu di luar negara akhirnya berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan mereka.
“Janganlah kita sekadar membantu mereka untuk berangkat menuntut ilmu, tetapi kita juga perlu membantu mereka membina masa depan selepas mereka pulang,” katanya.
Menurut beliau, antara cadangan utama ialah menyediakan peluang kerjaya kepada graduan lepasan Mesir melalui kerjasama kerajaan negeri, Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan agensi berkaitan.
Jelasnya, peluang kerjaya itu tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada bidang pendidikan agama, institusi masjid dan dakwah, sebaliknya perlu diperluaskan kepada bidang pentadbiran, penyelidikan, industri halal, kewangan Islam serta bidang profesional lain yang bersesuaian.
“Kita perlu melihat graduan Mesir ini sebagai aset modal insan yang sangat berharga kepada pembangunan negeri pada masa hadapan, bukan sekadar lepasan pengajian agama,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar program kebajikan, pembangunan kemahiran dan peningkatan kebolehpasaran diperbanyak dalam kalangan mahasiswa Pahang di Mesir.
Antara program yang dicadangkan termasuk kursus penterjemahan dan interpretasi bahasa Arab, pendedahan kepada industri halal dan kewangan Islam, latihan kepimpinan, komunikasi dan pengucapan awam, program keusahawanan dan kemahiran digital, serta bimbingan kerjaya dan persediaan menghadapi alam pekerjaan.
“Dengan adanya program-program seperti ini, kita bukan sahaja dapat melahirkan graduan yang mempunyai penguasaan ilmu agama yang baik, tetapi juga graduan yang berdaya saing, berkemahiran dan bersedia untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.
Beliau turut berkongsi luahan mahasiswa Pahang di Mesir yang dalam bahasa ringkas tetapi penuh makna menyuarakan “Melawatlah sokmo kami di sini.”
Ungkapan itu, katanya, menggambarkan harapan besar mereka agar hubungan dengan Kerajaan Negeri terus dipererat, bukan hanya melalui bantuan kewangan dan kebajikan, tetapi juga perhatian, sokongan moral dan keprihatinan berterusan.
Justeru, beliau mencadangkan agar lawatan kebajikan dan sesi libat urus bersama anak-anak Pahang yang menuntut di Mesir dijadikan agenda berkala kerajaan negeri, selain mewujudkan mekanisme susulan bagi memastikan setiap permasalahan dan keperluan yang dikenal pasti dapat ditangani oleh agensi berkaitan.
“Sesungguhnya, pelaburan dalam pendidikan bukanlah sekadar suatu perbelanjaan, tetapi merupakan pelaburan untuk membina masa depan negeri,” katanya.

