
SHAH ALAM – Sebarang keputusan berhubung penggunaan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diputuskan menerusi perbincangan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, semua cadangan berkaitan strategi menghadapi pilihan raya perlu dibincangkan terlebih dahulu antara kepimpinan parti komponen sebelum sebarang pendirian diumumkan secara terbuka.
Katanya, DAP sentiasa terbuka untuk membincangkan strategi berkenaan, selain turut mempunyai pandangan dan cadangan tersendiri bagi memastikan gabungan itu dapat menghadapi pilihan raya akan datang dengan kekuatan terbaik.
“Namun, cadangan-cadangan seperti itu sepatutnya dibincangkan terlebih dulu dalam majlis presiden kepimpinan.
“DAP akan memberikan pandangan kita dan sudah tentu kita juga ada cadangan kita bagaimana kita bergerak ke depan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Cadangan itu boleh dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Konvensyen DAP Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan DAP menjayakan agenda khemah besar dengan parti di luar PH termasuk Bersatu, Anthony berkata, perbincangan mengenainya lebih sesuai diadakan secara tertutup antara parti komponen.
Katanya, setiap parti mempunyai pandangan dan cadangan tersendiri yang perlu diberi ruang untuk dibincangkan bagi memastikan sebarang keputusan mencapai matlamat ditetapkan.
“Itu pandangan (parti) Amanah. Masing-masing ada pandangan, ada cadangan. DAP juga ada pandangan. Tetapi saya yakin kalau kita memberikan cadangan secara terbuka berbincang melalui media, ia tidak akan mencapai hasrat ataupun objektif yang diinginkan.
“Jadi, yang paling baik segala cadangan dan juga perbincangan ini diadakan terlebih dulu sebelum sesuatu kenyataan dibuat secara terbuka,” katanya.
Anthony berkata, setakat ini, tiada sebarang perbincangan mengenai kerjasama dengan Bersatu diadakan di peringkat DAP.

