TAWAU – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menjadi perintis pembangunan Rumah Lestari di Sabah menerusi inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dalam meningkatkan kesedaran serta kecintaan terhadap kelestarian alam sekitar.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejayaan MPT merealisasikan inisiatif itu wajar dicontohi dan diperluaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini.
“Program ini bermanfaat untuk usaha melestarikan alam sekitar dan menanamkan kecintaan masyarakat atau komuniti secara santai dengan nilai-nilai hijau yang mana sangat penting untuk alam sekitar, sangat penting untuk kesejahteraan dan sangat baik untuk kesihatan kita.
“Saya juga menyokong penuh kewujudan Rakan Lestari dan ini semua digagaskan oleh kerajaan melalui PBT masing-masing,” katanya kepada media selepas merasmiksn Karnival Tawau Lestari 2026 di Taman Ria Height, pada Isnin.

Menurut Arifin, pelaksanaan Rumah Lestari turut mendapat bimbingan, panduan dan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia di Putrajaya sorta sokongan kementeriannya.
Justeru, beliau menekankan agar aspek pendidikan perlu diberikan perhatian kerana kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar seharusnya dipupuk sejak peringkat awal.
“Saya harap akan ramai pelajar atau murid sekolah daripada mana-mana sekolah datang ke rumah Lestari ini melihat program aktiviti yang dilaksanakan oleh jawatankuasa ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain berkenaan Bandar Selamat, Arifin berkata, Kerajaan Sabah turut mengambil perhatian terhadap keperluan menambah baik kemudahan asas di kawasan bandar dan pekan, termasuk pemasangan lampu jalan serta kamera litar tertutup (CCTC) bagi meningkatkan keselamatan orang awam.
Katanya, perkara itu sudah dibincangkan bersama Presiden MPT serta presiden PBT lain, manakala proses penambahbaikan sedang berjalan menerusi Setiausaha Tetap kementerian dan PBT masing-masing.
“Minggu ini, kita akan mengadakan perhimpunan bersama Pegawai Daerah, Pengerusi Majlis Perbandaran dan Pegawai Eksekutif.
“Saya akan menyampaikan amanat, antaranya supaya semua pihak sentiasa bersedia mendengar serta memberikan perhatian dan tindakan sebaik mungkin terhadap perkara yang diperlukan demi kepentingan rakyat, termasuk penambahbaikan kemudahan asas dan pencahayaan (lampu jalan),” jelasnya.



