
MUAR – Pelaksanaan program Sekolah Angkat MADANI penting dalam memperkukuh penguasaan teknologi maklumat dalam kalangan murid sebagai persediaan melahirkan generasi celik digital, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Beliau berkata, pendidikan adalah elemen penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju, justeru usaha memperkukuh kemudahan pembelajaran digital perlu diberi perhatian.
Katanya, JKOM menyahut seruan Perdana Menteri menerusi pelaksanaan program berkenaan dengan memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abu Bakar 1, Muar sebagai sekolah angkat bagi 2026.
“JKOM perlu menyahut seruan Perdana Menteri untuk memastikan hasrat beliau menjadikan pendidikan negara sebagai tunjang ke arah Malaysia menjadi negara maju dapat direalisasikan.
“Jadi, pendidikan adalah satu elemen penting dalam mencapai hasrat dan konsep Malaysia MADANI,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, hari ini.
Beliau berkata, JKOM menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran digital di sekolah berkenaan, termasuk pusat sumber dan dewan utama perhimpunan.
Katanya, peruntukan itu digunakan untuk menyediakan papan putih pintar, 20 unit iPad dan stesen pengecasan di pusat sumber, selain memasang skrin digital LED di Dewan Bitara.
Menurutnya, kemudahan teknologi itu membolehkan murid mendapatkan akses kepada pelbagai sumber maklumat bermanfaat menerusi internet dan media sosial untuk menyokong pembelajaran.
“Antara elemen penting untuk mencapai status negara maju ialah penguasaan teknologi maklumat.
“Jadi, untuk menguasainya, kita perlu menyediakan peranti yang sesuai supaya murid dapat mengakses semua maklumat yang baik melalui media sosial dan internet untuk diajar kepada mereka,” katanya.
Beliau berharap program Sekolah Angkat MADANI dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negara, dengan jumlah sekolah terbabit berpotensi ditingkatkan sekali ganda pada 2027.
SK Sultan Abu Bakar 1 dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI JKOM bagi 2026 berdasarkan rekod kecemerlangannya sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pendidikan dan sekolah Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kohort 6.0.
Sekolah yang beroperasi sejak 1939 itu mempunyai 231 murid merangkumi aliran perdana, prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), selain 26 guru dan 14 kakitangan sokongan.
Daripada keseluruhan peruntukan RM100,000, sebanyak RM75,000 digunakan untuk menaik taraf Pusat Sumber Sekolah, manakala RM25,000 bagi pemasangan skrin digital LED di Dewan Bitara.



