SEREMBAN – Datuk Ismail Lasim perlu membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Jumaat berkata, dakwaan bahawa Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar adalah tidak tepat dan tidak berasaskan fakta, memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.
“Istana Negeri Sembilan merujuk kepada kenyataan Istana bertarikh 17 November 2026 berhubung surat peletakan jawatan bertarikh 16 November 2026 yang dihantar ke Istana Hinggap, serta laporan media hari ini.
“Sebagaimana dimaklumkan dalam kenyataan tersebut, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Kebawah Duli Tuanku, dan pihak Istana belum mengesahkan surat tersebut.
“Oleh kerana beliau sendiri menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan jawatan, adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa pihak Istana mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, Ismail perlu mengemukakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
“Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Ke Bawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.



