Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan ketika cuba menyeludup dadah di Pangkalan Udara Subang Selasa lalu, dikesan cuba mencampurkan bagasi berisi bahan terlarang itu dengan bagasi yang telah melepasi mesin pengimbas.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, tindakan itu gagal selepas pegawai Cawangan Pergerakan Udara mengesan lima bagasi berbalut plastik dan sebuah kotak tanpa pelekat tapisan keselamatan di kawasan ketibaan pada jam 10 pagi.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak yang sedikit terbuka itu menemukan beberapa botol berlabel baja kimia yang dilarang dibawa menaiki pesawat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, bagasi berkenaan kemudian dibawa ke mesin pengimbas dan didapati mengandungi bungkusan yang tersusun rapi serta mencurigakan.
Semakan mendapati pemilik bagasi itu adalah seorang pegawai yang terlibat dalam penerbangan TUDM.
“Bagaimanapun, kelima-lima bagasi berkenaan didapati tidak melepasi mesin pengimbas dan pemiliknya cuba meletakkan kembali bagasi itu ke dalam kereta beliau bagaimanapun tidak dibenarkan oleh pegawai bertugas,” katanya.
Suspek kemudian terpaksa menggunakan pisau untuk memotong bagasi berkenaan kerana mendakwa tidak mempunyai kuncinya.
“Pemeriksaan mendapati bagasi tersebut mengandungi bungkusan berwarna merah yang terkoyak dan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki bahan terlarang,” katanya.
Insiden itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Jenayah TUDM sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
“Ujian mengesahkan bahan berkenaan adalah dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan MDMA dengan berat keseluruhan 96.64 kilogram bernilai RM4.83 juta, selain cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram,” jelasnya.
Menurut beliau, dua pegawai ditangkap di Pangkalan Udara Subang manakala pegawai ketiga ditahan di pangkalan udara TUDM yang lain pada hari sama.
“Tiga pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat terdiri daripada anggota HANDAU, unit provos dan kru penerbangan turut dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan.


