Gambar hiasan
SHAH ALAM – Seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Turkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur selepas cadangan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Turkiye baru-baru ini sebagai usaha menangani isu pelarian Rohingya secara lebih tersusun dan berperikemanusiaan.
Menurutnya, pelarian terbabit akan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan bagi membolehkan mereka membina kehidupan baharu di negara berkenaan.
“Persetujuan Kerajaan Turkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya.
“Pendekatan ini bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, bidang latihan kemahiran akan diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Turkiye.
Beliau berkata, inisiatif itu turut selari dengan pendekatan penyelesaian jangka panjang Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui penempatan semula di negara ketiga.
“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.
“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” jelasnya.



