
IPOH – Jerutan pada leher disahkan sebagai punca kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah Kuala Kangsar, pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, perkara itu disahkan berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping, kira-kira jam 1 petang, Khamis.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 10.35 pagi di tandas sebuah bangunan di sekolah berkenaan.
“Mangsa hanya disedari oleh seorang pelajar lain kira-kira jam 2.45 petang.
“Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan tiada kesan kecederaan lain ditemukan pada tubuh mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Khamis.

Mohd Alwi berkata, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Katanya, polis sudah merakam percakapan enam pelajar dan lima guru bagi membantu siasatan, selain mendapatkan keterangan daripada ibu bapa mangsa.
“Berdasarkan keterangan yang diperoleh, mangsa telah ditempatkan di bilik sakit sekolah sejak Isnin lalu kerana kurang sihat.
“Bilik berkenaan dilengkapi CCTV bagi membolehkan pihak sekolah memantau keadaan pelajar.
“Hasil penelitian terhadap tiga siri rakaman CCTV di bilik berkenaan tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah mahupun buli,” katanya.



