
KUALA TERENGGANU – Syarikat pengeluar rempah-ratus, McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd akan menamatkan operasi perladangan lada hitam di Lembah Bidong, Setiu, secara berperingkat mulai 31 Januari hingga 30 Jun 2027.
Langkah itu dijangka memberi kesan melibatkan 180 pekerja, termasuk kira-kira 126 anak jati Terengganu.
Sumber Sinar Harian melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat oleh ibu pejabat McCormick di Amerika Syarikat susulan penggabungan syarikat berkenaan dengan Unilever Food.
“McCormick sedang menyusun semula hala tuju perniagaannya dan mahu memberi tumpuan kepada industri pemprosesan, sekali gus menghentikan penglibatan langsung dalam sektor perladangan.
“Keputusan itu, bersifat komersial dan tidak berpunca daripada masalah dengan kerajaan negeri atau keadaan operasi di Terengganu,” katanya.
Sementara itu laporan Dagangnews menyebut ladang di Setiu itu mempunyai 180 pekerja. Kira-kira 70 peratus daripadanya anak jati Terengganu, manakala selebihnya berasal dari negeri lain.
“Penamatan operasi akan dilaksanakan selama enam bulan dan pekerja dijangka menerima pampasan antara dua hingga empat bulan gaji, mengikut hak masing-masing,” ujarnya.
Menurut Azman lagi, beliau menerima kunjungan pengurusan tertinggi McCormick, termasuk pengarah syarikat Ross Grier. Dalam pertemuan itu, syarikat berkenaan memohon maaf atas keputusan tersebut dan menyatakan kerjasama dengan kerajaan negeri sepanjang beroperasi berjalan baik.
Kerajaan negeri kini meneliti perjanjian sedia ada menerusi Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu selaku tuan tanah, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri. Penelitian itu termasuk klausa penamatan secara persetujuan bersama.
Pada masa sama, kerajaan negeri sedang berusaha memastikan kegiatan lada hitam di Lembah Bidong dapat diteruskan melalui pengambilalihan oleh pihak lain. Azman berkata, pelabur berpotensi telah melawat tapak dan mengadakan perbincangan, namun proses itu masih belum dimuktamadkan.
“McCormick juga menyatakan kesediaan untuk terus membeli hasil lada hitam dari ladang berkenaan. Ini membuka kemungkinan syarikat itu kekal terlibat dalam rantaian industri melalui pemprosesan, meskipun tidak lagi mengendalikan ladang secara langsung.” katanya.
Projek Lembah Bidong sebelum ini diumumkan sebagai pelaburan bernilai kira-kira RM360 juta, merangkumi ladang seluas 600 hektar dan kilang pemprosesan berteknologi tinggi. Dengan operasi perladangan bakal beralih tangan, langkah seterusnya bergantung pada penyelesaian perjanjian, pemuktamadan pelabur baharu serta pelan peralihan untuk pekerja yang terlibat.



