KOTA KINABALU – Penanda arah kiblat yang disemak dan disahkan Jabatan Mufti Negeri Sabah dipasang di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu bagi memudahkan urusan ibadah pendaki.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program pendakian Gunung Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama.
“Berbekalkan keazaman, ketabahan dan semangat saling menguatkan, cabaran pendakian berjaya ditempuhi hingga ke puncak, sambil menghayati kebesaran ciptaan-Nya.
“Misi itu turut diserikan dengan sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada para malim gunung di Kinabalu Park sebagai penghargaan atas jasa mereka membantu serta menjaga keselamatan pendaki,” menurut JAKIM, pada Selasa.

Tambah JAKIM, program bersama komuniti di Kampung (Kg) Mesilou, Kundasang yang telah berlangsung juga turut meninggalkan kenangan terindah antara penduduk setempat dengan warga agensi agama.
“JAKIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung serta komuniti setempat khususnya di Kg. Mesilou yang telah berganding bahu menjayakan keseluruhan program ini.
“Semoga ukhuwah yang terjalin dan semangat kebersamaan yang terbina terus menyuburkan usaha dakwah serta khidmat kepada masyarakat,” ujarnya.


