
MANILA – Kerajaan MADANI kekal stabil dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan dasar serta tanggungjawab terhadap rakyat, tanpa terganggu dengan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan mendesak untuk melakukan perubahan terhadap barisan Jemaah Menteri ketika ini meskipun timbul pelbagai pandangan susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
“Sekarang kerajaan stabil, dasar dibincangkan secara menyeluruh dalam Kabinet dan saya bekerja dengan menteri daripada pelbagai parti.
“Kita bekerja, berkongsi, berbincang dan mempunyai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN yang sensitif,” katanya di sini pada Isnin.

Anwar berada di Manila bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November, di bawah kepengerusian Filipina yang bertemakan Navigating Our Future, Together.
Mengulas peletakan jawatan Anthony, Anwar berkata, beliau menghormati keputusan pemimpin DAP itu yang dibuat atas dasar prinsip, walaupun sebelum ini telah meminta beliau mempertimbangkan semula pendirian berkenaan.
“Beliau (Anthony Loke) atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian dia kerana pentingnya itu atas dasar prinsip yang dia pertahankan.
“Dalam sistem kerajaan campuran di beberapa negara, ini bukan satu keanehan. Bila ada gabungan, kadang-kadang pada peringkat Persekutuan berbeza dengan peringkat negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ruang perbincangan politik sentiasa terbuka, termasuk menerusi pertemuan rasmi dan tidak rasmi bersama pemimpin parti serta anggota pentadbiran bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan.
Beliau turut menepis dakwaan kononnya kerajaan sedang berdepan ketidakstabilan, sebaliknya menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian agenda kempen politik pihak tertentu.
“Apa yang digembar-gemburkan itu hanyalah semata-mata agenda berkempen. Namun buat masa ini, kekal pada landasan, teruskan bekerja. Apa yang penting, kita berikan yang terbaik untuk negara ini,” katanya.

