Dr Fuziah Salleh
ISU rombakan Kabinet tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan semula ketidaktentuan politik, apatah lagi sehingga timbul cadangan pembubaran Parlimen ketika kerajaan masih mempunyai sokongan majoriti.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, rombakan Kabinet adalah sebahagian daripada proses memperkukuh pentadbiran dan tidak sepatutnya membuka ruang kepada episod ketidakstabilan politik seperti yang pernah dialami negara antara 2020 hingga 2022.
“Sebab itu saya berpandangan, cadangan supaya Parlimen dibubarkan ketika kerajaan masih berfungsi dan mempunyai sokongan majoriti bukanlah sesuatu yang perlu dibangkitkan dengan mudah. Apatah lagi jika persoalan asalnya hanyalah mengenai rombakan Kabinet.
“Rombakan Kabinet adalah sebahagian daripada proses memperkukuh pentadbiran. Ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membuka semula episod ketidaktentuan politik yang pernah kita lalui,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Menurutnya, pengalaman ketika ketidakstabilan politik menjadi pengajaran kepada semua pihak mengenai pentingnya kestabilan politik, khususnya ketika rakyat berdepan kesan pandemik COVID-19, kehilangan pekerjaan, tekanan kos sara hidup dan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.
Katanya, selepas hampir empat tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk, negara mempunyai ruang untuk memberikan tumpuan kepada agenda lebih besar seperti menarik pelaburan, menyediakan peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup dan melaksanakan reformasi institusi.
Jelasnya, usaha memperkukuh tadbir urus, membanteras rasuah serta memperbaiki institusi negara memerlukan kesinambungan dasar dan pentadbiran yang stabil bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
“Perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin boleh dibincangkan. Tetapi jangan sampai percaturan politik mengganggu kestabilan yang sedang kita bina,” katanya.
Fuziah turut mengingatkan pemimpin supaya tidak mengutamakan soal kuasa dan kedudukan politik sehingga sanggup mempertaruhkan kestabilan negara yang dibina selama ini.
Tegasnya, rakyat sudah terlalu lama menanggung kesan ketidaktentuan politik dan kepentingan politik tidak seharusnya mengatasi masa depan negara serta kesejahteraan rakyat.



