Gambar hiasan
KEPONG – Seorang lelaki warga asing maut ditembak polis selepas menyerang anggota polis dengan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan anggota berkenaan putus dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis dengan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri itu, antara jam 7.30 hingga 8 malam.
“Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tahanan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata, suspek yang cedera dibawa untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.
Sementara itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang cedera kini stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Terdahulu, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4 petang mengenai seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil di pangsapuri berkenaan.
Sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian ke lokasi bagi memeriksa keadaan.
Sekitar jam 7 malam, ketika pintu kediaman dibuka, suspek meluru keluar bersenjatakan dua bilah parang dan menyerang pasukan yang berada di hadapan pintu.
Seorang anggota polis mengalami kecederaan parah pada pergelangan tangan kanan, selain beberapa kecederaan pada kepala dan badan, ketika cuba mempertahankan diri.
Anggota lain berundur untuk menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah sebelum dikesan berhampiran taman permainan.
Shazeli berkata, anggota yang cedera bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke HKL.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat anggota bomba dan petugas KKM mengalami kecederaan ringan, namun masih menunggu laporan rasmi daripada kedua-dua agensi.
Mengenai suspek, semakan awal mendapati lelaki itu dipercayai warga asing, namun identiti dan butirannya masih dalam proses pengesahan.
Siasatan dijalankan di kediaman suspek dan lokasi kejadian, manakala jumlah tembakan dan kecederaan dialami suspek masih menunggu keputusan bedah siasat yang akan dijalankan di Hospital Selayang.
“Setakat ini, kita percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.



