
BEKAS Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MoT) buat kali terakhir susulan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa malam tadi, pada Rabu.
Ketibaan Loke di pekarangan lobi MoT kira-kira jam 10.04 pagi disambut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dan Ketua Setiausaha MoT, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, selain warga kementerian yang mula berkumpul sejak jam 9.30 pagi.
Beliau hadir bagi memenuhi undangan pihak kementerian dan turut menyertai Majlis Cahaya Kasih MADANI yang dianjurkan bersempena sambutan Deepavali.
Menariknya, sebelum memasuki dewan, Loke turut menyempurnakan acara menyalakan lampu Kuttu Vilakku, iaitu pelita tradisional masyarakat India yang menjadi simbol cahaya, kemakmuran dan kesejahteraan, khususnya dalam sambutan Deepavali.
Penampilan itu sekali gus menjadi antara detik terakhir beliau bersama warga kementerian yang diterajuinya sebelum ini.
Peletakan jawatan Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban itu diumumkan semalam, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pelaksanaan baki hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta.
Keputusan mahkamah itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah kaedah berkenaan.
Terdahulu, Loke dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 September lalu, selaras dengan pendirian yang dinyatakannya berhubung isu berkenaan.
Beliau sebelum ini turut menegaskan bahawa keputusan melepaskan jawatan itu dibuat berdasarkan pendirian politik yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu.
Kehadiran Loke dalam perhimpunan bulanan itu menandakan penutup kepada peranannya sebagai Menteri Pengangkutan, selepas mengetuai kementerian berkenaan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI.
Foto: Utusan Malaysia


