
KUCHING – Syarikat teknologi Jepun, SoftBank Group bakal menerajui pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Sarawak menerusi rancangan pelaburan awal berjumlah AS$1 bilion ( RM4.07 bilion) bersama Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Rancangan tersebut menyaksikan SoftBank dicadang menyumbang AS$800 juta (RM3.26 bilion), manakala Grab dan PETROS masing-masing AS$100 juta (RM407 juta) bagi membangunkan keupayaan pengkomputeran AI di negeri ini.
Menurut kenyataan bersama ketiga-tiga syarikat pada Isnin, perjanjian pembangunan bersama (JDA) yang dimeterai itu menandakan fasa baharu kerjasama selepas perjanjian rangka kerja ditandatangani di Kuching pada 8 Oktober lalu.
Projek berkenaan akan diterajui dan dimiliki secara majoriti oleh SoftBank dengan penglibatan Grab serta PETROS sebagai rakan strategik.
Kerjasama itu turut menetapkan sasaran jangka panjang membangunkan kapasiti pengkomputeran AI sehingga lima gigawatt, selain meneroka peluang dalam bidang robotik, teknologi termaju dan pembangunan tenaga kerja tempatan.
Bagaimanapun, pelaburan awal yang dicadangkan itu akan disalurkan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian pembangunan projek, kontrak pelanggan serta syarat-syarat berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Datuk Janin Girie berkata, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan Sarawak untuk memperluas struktur ekonominya melangkaui industri minyak dan gas.
Menurutnya, pembangunan keupayaan AI dan pengkomputeran termaju dijangka membuka ruang kepada pertumbuhan industri baharu, selain memperkukuh daya saing perniagaan serta tenaga kerja tempatan.
“Kami mahu membina ekonomi berpendapatan tinggi yang mana teknologi dan inovasi mewujudkan industri baharu, peluang serta pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan bersama itu.
Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group, Masayoshi Son berkata, pihaknya berhasrat memperluas peluang ekonomi berteraskan teknologi di Sarawak dan rantau ini menerusi kerjasama berkenaan.
Pengasas Bersama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Datuk Anthony Tan pula menyifatkan penekanan Sarawak terhadap penggunaan tenaga mampan sebagai antara faktor yang menyokong pembangunan infrastruktur AI untuk memenuhi keperluan Asia Tenggara.
Dalam pelaksanaan projek itu, PETROS akan menyumbangkan kepakaran pembangunan tenaga dan infrastruktur menerusi peranannya dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching.
Kemudahan tenaga dan ekosistem perindustrian tersebut dijangka menjadi antara komponen penting bagi menyokong keperluan pembangunan infrastruktur pengkomputeran berskala besar.
Ketiga-tiga syarikat turut merancang mendapatkan pelabur tambahan serta pelanggan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan berskala besar bagi menyokong peluasan projek dalam jangka panjang.
Inisiatif itu akan dibangunkan melalui kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, sejajar dengan aspirasi Malaysia di bawah AI Nation 2030 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Pada peringkat nasional, SoftBank dan Grab turut mengumumkan rancangan modal permulaan gabungan AS$1.85 bilion (RM7.53 bilion) bagi pembangunan infrastruktur AI di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


