
JASIN – Pas dilihat tidak lagi berpegang kepada prinsip keadilan dalam Islam apabila pembelaan terhadap seseorang pemimpin seolah-olah bergantung kepada kedudukan dan pengaruh, bukannya berlandaskan prinsip undang-undang yang sama rata.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, prinsip keadilan itu jelas ditegaskan menerusi hadis Rasulullah SAW yang menyebut sekiranya Fatimah az-Zahra, puteri Baginda mencuri, nescaya Baginda sendiri akan memotong tangannya.
Beliau berkata, hadis berkenaan membawa mesej bahawa undang-undang mesti dilaksanakan secara adil tanpa mengira keturunan, kedudukan atau status seseorang, termasuk anak Nabi dan khalifah.
“Undang-undang sama di sisi Allah. Tidak kira anak Nabi, tidak kira anak khalifah. Tetapi sekarang kalau dia bangsawan, kalau dia orang besar, ada pula pembelaan.
“Tetapi kalau orang itu mencuri duit masjid atau mencuri tin susu kerana anak tidak cukup makan, kita tidak dengar pula pembelaan seperti itu. Inilah antara perkara yang cukup pelik sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kelompok DUN Merlimau di Taman Panglima Pak, di sini, Isnin.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, prinsip keadilan tidak sepatutnya berubah mengikut kepentingan politik, sebaliknya perlu dipertahankan tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan.
Katanya, pendirian itu juga perlu diterjemahkan dalam perjuangan Islam yang membawa rahmat kepada semua, termasuk membela golongan tertindas tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau turut menyentuh perjuangan membela rakyat Palestin yang mendapat sokongan masyarakat antarabangsa, termasuk golongan bukan Islam di Eropah dan Amerika Syarikat.
Katanya, sokongan itu menunjukkan masyarakat semakin menerima perjuangan berasaskan keadilan dan hak asasi manusia, khususnya dalam menentang penindasan terhadap wanita, kanak-kanak serta serangan terhadap rumah ibadat dan hospital.
“Kalau bangsa kita melakukan kezaliman, kita kena lawan. Kalau Cina melakukan kezaliman, kita kena lawan. Melayu melakukan kezaliman, kita kena tentang.
“Jangan kerana seseorang itu daripada bangsa atau kelompok kita, kita terus menyokongnya walaupun melakukan kezaliman,” katanya.
Mohamad turut mengkritik kecenderungan memainkan sentimen kaum dan agama demi meraih sokongan politik, sedangkan prinsip keadilan sepatutnya menjadi asas perjuangan semua pihak.
Beliau berkata, Islam tidak seharusnya digunakan sebagai alat untuk mempertahankan kepentingan kelompok tertentu, sebaliknya perlu terus membawa mesej keadilan dan pembelaan kepada semua golongan.

