BUKIT RAMBAI – Penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi MyKad disifatkan lebih berkesan berbanding pemberian wang tunai bagi memastikan bantuan kerajaan digunakan khusus untuk membeli barangan keperluan harian.
Veteran tentera, Bakri Bakar berkata, pendekatan itu membolehkan penerima memanfaatkan bantuan itu untuk mendapatkan barangan dapur dan keperluan asas, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.
Menurut beliau, kaedah berkenaan juga dapat membantu memastikan peruntukan kerajaan terhadap kebajikan rakyat dimanfaatkan mengikut tujuan asal bantuan itu diperkenalkan.
“Bagi saya, langkah yang dilaksanakan bagi dalam memberi bantuan kewangan menggunakan kaedah kad pengenalan adalah tindakan yang lebih baik.
“Kalau bantuan diberikan secara tunai, apa yang dirisaukan orang tidak akan membeli barang dapur dan itu dilihat apa yang dihasratkan oleh kerajaan tidak tercapai,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, pendekatan itu menunjukkan keperluan memastikan bantuan kerajaan bukan sekadar sampai kepada golongan sasaran, malah digunakan secara berhemah untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Sebagai contoh, katanya, seseorang yang menerima RM100 secara tunai mempunyai kebebasan menggunakan wang berkenaan untuk pelbagai tujuan, termasuk membeli barangan yang bukan keperluan rumah.
“Contohnya saya bagi abang RM100. Tidak mustahil abang tidak membeli barang-barang dapur, sebaliknya mungkin beli tayar atau sport rim yang tidak berkaitan dengan keperluan rumah.
“Itu yang saya rasa apa yang Anwar nampak dia bagi bantuan kewangan tapi dengan cara bahawa penerima hanya boleh membeli barang keperluan harian,” katanya.

