
PUTRAJAYA – Paparan peta ancaman langsung (Live Threat Map) oleh FortiGuard Labs yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan siber negara.
Paparan berkenaan menunjukkan beberapa lokasi di negara ini termasuk Cyberjaya, Shah Alam dan Petaling Jaya merekodkan aktiviti ancaman siber, dengan serangan dikesan dari beberapa negara antaranya Perancis, Bulgaria, Indonesia, Jepun dan China.
Kebanyakan aktiviti yang dipaparkan dipercayai membabitkan cubaan menceroboh pelayan laman web serta penghala internet yang digunakan di rumah dan pejabat.
Bagaimanapun, paparan peta ancaman itu tidak membuktikan berlakunya pencerobohan yang berjaya, atau serangan yang dilancarkan oleh kerajaan negara tertentu.
Peta seumpama itu lazimnya memaparkan cubaan serangan yang dikesan dan disekat secara automatik oleh sistem keselamatan di seluruh dunia, dan ia berlaku setiap hari dalam jumlah yang besar.
Dalam pada itu, tular juga dakwaan mengenai tindakan balas terhadap serangan siber berkenaan, termasuk dakwaan membabitkan individu dari Batu Pahat, Johor.
Setakat ini, dakwaan tersebut tidak disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa dan tiada bukti kukuh dikemukakan bagi menyokongnya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan yang tidak perlu.
Pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman menerima notifikasi cubaan akses daripada lokasi luar negara terhadap akaun Apple ID mereka, sekali gus mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada.
Antara langkah asas yang disarankan ialah mengemas kini sistem operasi dan perisian keselamatan peranti, menggunakan kata laluan yang kukuh dan unik, mengaktifkan pengesahan dua faktor, serta tidak menekan pautan yang mencurigakan.
Sebarang aktiviti siber yang mencurigakan boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.


