
MUKAH – Sukan tradisional ‘Tipak Nyawu’ atau tradisi memutuskan tali layang-layang masyarakat Melanau berpotensi besar diangkat sebagai sukan warisan popular yang mampu menyatukan komuniti setempat.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian, Dr Abdul Yaakub Arbi berkata, permainan itu menggabungkan kepakaran seni pembuatan layang-layang dengan kemahiran serta strategi taktikal di udara, selain berkesan sebagai platform mengeratkan silaturahim masyarakat berbilang kaum.
“Apabila kepakaran pembuatan, kemahiran mengawal, dan strategi digabungkan, ia melahirkan keseronokan yang luar biasa.
“Penyertaan masyarakat dalam permainan ini bukan sahaja menghidupkan kembali tradisi lama, malah menjadi wadah riadah sihat untuk generasi muda,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Tipak Nyawu Piala Tugek P.213 Mukah di Tugek Kala Dana, pada Ahad.
Pertandingan anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Mukah, JKKK Sungai Alo, dan Alo Kite’s Fighter Team itu menarik penyertaan 33 peserta dari Mukah, Dalat, dan Bintulu dengan sokongan Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Peserta Lai Tanjung mendominasi kejuaraan kali ini apabila merangkul tempat johan, naib johan, dan ketiga sekali gus membawa pulang trofi serta wang tunai keseluruhan RM2,500.



