PAYA RUMPUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dalam pentadbiran negara, sambil mengingatkan bahawa penyelewengan dan salah urus kewangan terdahulu telah menyebabkan rakyat menanggung beban hutang serta kerugian berbilion ringgit.
Beliau berkata, kesan daripada kelemahan pengurusan institusi dan dana awam bukan sekadar mencalarkan imej negara, malah mengakibatkan kerajaan hari ini terpaksa mencari sumber kewangan bagi menyelesaikan komitmen hutang yang ditinggalkan.
Menurutnya, antara institusi yang terkesan ialah FELDA, apabila kerajaan perlu menanggung pembayaran hampir RM1 bilion setahun bagi menyelesaikan beban kewangan yang diwarisi.
“FELDA itu dulu masa Raja Alias jaga, masa Taib Andak jaga, untung bilion-bilion. Kemudian mereka jaga (kerajaan terdahulu), rugi, satu tahun saya mesti bayar hampir satu bilion ringgit “
“Bayangkan kalau tak tipu, saya boleh bagi satu bilion tiap tahun pada FELDA. Semua orang peneroka-peneroka senang hidup. Sekarang saya mesti cari duit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi MADANI Melaka di Paya Rumput, semalam.
Anwar turut mengaitkan isu berkenaan dengan beberapa skandal kewangan terdahulu, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA, yang menurutnya memperlihatkan betapa pentingnya ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan institusi negara.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan mengenai projek bernilai RM9 bilion yang dibiayai melalui pinjaman daripada Exim Bank China pada 2016, namun mendakwa projek berkenaan tidak memberikan hasil seperti yang sepatutnya.
“Baru ini, hari Selasa di Parlimen, bongkar lagi, projek RM9 bilion, pinjam dari Exim Bank negeri China, 2016. Tahu siapa 2016 jaga? RM9 bilion tak ada apa, habuk pun tak ada.
“Apa pun tak ada. Saya cakap betul ni, bukan main-main punya. Awak nak dapat RM500, senang ke nak cari? Ini bilion-bilion hilang, nasib baik kita (Pakatan Harapan) ambil alih,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah berunding dengan kepimpinan China bagi menyelesaikan isu berkenaan, termasuk menerusi pertemuan dan rundingan bersama Presiden China, Xi Jinping serta Perdana Menteri China, Li Qiang.
Hasil rundingan itu katanya, membolehkan kerajaan memperoleh semula kira-kira RM5 bilion daripada dana berkenaan untuk dimanfaatkan menerusi projek pembangunan infrastruktur air.
Beliau menjelaskan, sebahagian dana berjumlah RM1.5 bilion telah pun digunakan bagi projek yang mengalami kerosakan, manakala baki dana berjaya dirunding semula untuk pelaksanaan projek bekalan air dari Sungai Perak hingga ke Pulau Pinang.
“Saya berunding dengan Xi Jinping, berunding dengan Li Qiang, tak apa, boleh rekod. Merayu pada dia, mereka runding balik, okey, dia tak mahu buat di Sabah, maka wang itu, RM1.5 bilion memang dah rosak (tak dapat diselamatkan), jadi ada lagi RM6 bilion.
“Runding-runding, dia (China) boleh bagi RM5 bilion balik. Saya (kerajaan) buat projek bekalan air Sungai Perak, sampai Pulau Pinang. Jadi seluruh negeri Perak sampai seluruh Pulau Pinang ada air,” katanya.
Menurut Anwar, usaha berkenaan membuktikan bahawa pendekatan diplomasi dan rundingan kerajaan mampu mengembalikan manfaat kepada rakyat, khususnya apabila dana yang sebelum ini terikat dengan projek bermasalah dapat disalurkan kepada pembangunan yang lebih diperlukan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengurusan negara perlu berlandaskan undang-undang dan bukannya kepentingan individu atau kelompok tertentu.
“Inilah sebabnya saya pegang kepada rule of law. Negeri ini ada hukum, ada undang-undang. Bukan sendiri punya,” katanya.
Anwar mengakhiri penjelasan itu dengan menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan Pakatan Harapan yang terlibat dalam usaha membawa semula dana berkenaan untuk kepentingan rakyat.
“Wang yang dulu hilang masa 2016, siapa ambil balik? Alhamdulillah, ini rakan-rakan Pakatan Harapan sendiri,” katanya.


