
KLEBANG: Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, isu prestasi kerajaan negeri dan integriti pentadbiran di bawah Barisan Nasional (BN) menjadi bualan panas di kalangan pengundi negeri bersejarah ini, tanpa mengira latar belakang politik dan pihak yang disokong.
Deretan projek gagal tersebut menimbulkan persoalan sama ada pembangunan yang dicanangkan benar-benar berpijak pada realiti atau sekadar indah di atas kertas.
Monorel Melaka, Melaka Gateway, Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ), Kompleks Sukan Mini Bemban, Jambatan Melaka-Indonesia, Arab City dan Planetarium Melaka adalah senarai panjang projek-projek yang menelan modal hingga puluhan juta ringgit yang masih gagal diselesaikan.
Monorel Melaka yang dibangunkan dengan kos RM16.5 juta misalnya, masih belum menemukan hala tuju yang jelas selepas kontrak operator ditamatkan pada 2021.
Hasrat menghidupkan semula perkhidmatan itu pada Mei 2023 kemudiannya berubah kepada cadangan menjadikan trek sebagai laluan pejalan kaki pada November 2024.
Pada November 2026, Pakatan Harapan (PH) telah membangkitkan isu berkenaan dengan mencadangkan penilaian menyeluruh terhadap masa depan projek itu.
Projek Melaka Gateway pula dilancarkan pada 2014 dengan nilai pembangunan dianggarkan RM43 bilion. Namun, perjanjian pembangunan berkenaan dibatalkan pada 2020 selepas pemaju didakwa gagal memenuhi jadual pelaksanaan.
Hal ini menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan menilai risiko, memantau pemaju dan memastikan perjanjian pembangunan tidak berakhir sebagai janji yang tidak tertunai.
Beralih ke perancangan M-WEZ, tujuh komponen pembangunan turut mengundang penelitian, termasuk menara ikonik setinggi 200 meter, pintu gerbang Selamat Datang, 22 jambatan bernilai RM216 juta, M-WEZ Sky Wheel, chalet atas air, pejabat dan kondominium mewah serta terusan air berkonsepkan Venice.
Perancangan berskala besar ini pernah dipersoalkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, di Parlimen pada 26 Mei 2022.
Persoalan yang timbul ialah sama ada setiap komponen itu mempunyai asas ekonomi yang kukuh, sumber pembiayaan yang jelas dan manfaat yang setimpal kepada rakyat.
Di Jasin, Kompleks Sukan Mini Bemban bernilai RM10.37 juta yang mula dibina pada 2021 dan dijadualkan siap pada 2024 turut gagal disempurnakan mengikut jadual.
Tidak hanya itu, pada Disember 2025, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM500,000 kepada syarikat perunding bagi kajian awal untuk projek pembinaan Jambatan Melaka-Indonesia sepanjang kira-kira 48 hingga 49 kilometer ke Dumai, Indonesia.
Nilai sebesar setengah juta ringgit bagi kajian awal bukan sesuatu yang kecil, lebih-lebih lagi dalam konteks deretan projek yang belum diselesaikan.
Adakah projek Jambatan Melaka-Indonesia sepanjang kira-kira 48 hingga 49 kilometer ke Dumai, Indonesia akan ditambah ke sejarah panjang projek sakit negeri ini?
Masih ingat projek Arab City Melaka yang dilancarkan pada 2009 dengan nilai pembangunan sekitar RM1.2 bilion dan disasarkan siap pada 2012? Projek itu turut dikaitkan dengan kegagalan mencapai perancangan asal.
Dakwaan mengenai RM250 juta yang telah dibelanjakan menimbulkan persoalan terhadap kedudukan kewangan dan aset projek tersebut.
Pada 2 November 2026, Adly Zahari turut membangkitkan isu Arab City.
Seterusnya, Planetarium Melaka pula berdepan kerosakan struktur, termasuk insiden runtuhan dan kebakaran, sehingga bangunan berkenaan dilaporkan tidak lagi selamat digunakan sebagai kemudahan asal.
Projek bernilai RM20 juta itu turut dikaitkan dengan dana talangan berjumlah RM942,916 daripada Perbadanan Ketua Menteri pada 2012 dan 2013.
Isu ini memperlihatkan bahawa kegagalan pembangunan bukan hanya melibatkan bangunan yang tidak siap, tetapi juga aset yang tidak lagi berfungsi sebagaimana tujuan asalnya.
Jika dirangkum secara menyeluruh, kesemua isu ini membawa kepada satu persoalan yang lebih besar, yakni adakah Melaka mempunyai masalah perancangan pembangunan, atau masalah memastikan perancangan itu dilaksanakan dengan berkesan atau individu dan pasukan politik disebalik pentadbiran negeri yang menyebabkan kegagalan?
Jangan cacatkan sejarah bandaraya bersejarah dengan sejarah deretan kegagalan projek-projek mega. Sejarah Melaka sudah cukup membanggakan.
Jadi, jangan dicacatkan!


