
KOTA SAMARAHAN – Sarawak memperuntukkan RM200 juta bagi meneruskan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) pada 2027 yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar yang layak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif yang mula dilaksanakan tahun ini merupakan sebahagian daripada pelaburan kerajaan negeri dalam pembangunan modal insan.
Menurutnya, pelaksanaan skim berkenaan melibatkan empat institusi pengajian tinggi di Sarawak bagi memperluas peluang anak negeri melanjutkan pengajian.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kali Ke-30, Sidang Ketiga, di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), pada Selasa.
Abang Johari berkata, pelaburan dalam pendidikan tinggi merupakan antara langkah penting bagi memastikan pembangunan ekonomi Sarawak turut memberikan manfaat kepada rakyat.
“Hasil yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi rakyat,” ujarnya.
Katanya, pembangunan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pembinaan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan kesejahteraan rakyat serta peluang pendidikan.
Beliau menjelaskan, pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam menghubungkan potensi seseorang dengan peluang masa depan, sekali gus membolehkan golongan muda menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Sehubungan itu, Sarawak terus memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan kepakaran tempatan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Terdahulu, peruntukan RM200 juta bagi FTES 2027 telah diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 pada 12 Oktober lalu.
Peruntukan berkenaan dijangka membolehkan kesinambungan skim pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan pada 2026 diteruskan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan.



