
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air serta tenaga kekal mencukupi dan tidak terganggu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan konflik antarabangsa ketika ini menunjukkan ancaman keselamatan bukan lagi terhad kepada peperangan konvensional, sebaliknya turut merangkumi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, sabotaj infrastruktur kritikal dan gangguan rantaian bekalan.
Menurutnya, kerajaan memandang serius perkembangan itu dan telah mengadakan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam bagi menilai tahap kesiapsiagaan negara serta keupayaan mekanisme sedia ada dalam menghadapi krisis dan ancaman hibrid.
“Hasil perbincangan tersebut, kerajaan berpandangan bahawa mekanisme pengurusan keselamatan dan krisis negara yang sedia ada perlu terus diperkukuh, khususnya dari segi penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan kejelasan peranan setiap pihak.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tanpa pertindihan tanggungjawab atau kelewatan dalam membuat keputusan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa di Dewan Rakyat, hari ini.

